Tuesday 11 June 2013

KENYATAAN AKHBAR : KEROSAKAN LIF-LIF DI TAMAN PERMAI INDAH, KLANG.


Pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju membaikpulih lif-lif di 3 buah pemajuan.  

Pemajuan-pemajuan tersebut adalah,

1.) Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya - RM557,300
2.) Pangsapuri Taman Permai Indah, Klang - RM600,000
3.) Pangsapuri Taman Ampang Mewah, Ampang - RM480,000
 
Bagi Pangsapuri Taman Permai Indah, kerja-kerja membaikpulih 8 lif telah dimulakan pada 22 Mac 2010. 

Setelah kerja-kerja membaikpulih berakhir, Sijil Perakuan Siap Kerja telah dikeluarkan kepada 8 lif itu secara berperingkat-peringkat pada 27 Julai, 7 Julai, 10 Ogos dan 22 November 2010.
 
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( JKKP ) pula telah mengeluarkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat ( PMA ) untuk mengesahkan bahawa lif tersebut selamat untuk digunakan pada 29 Disember 2010.
 
Walau bagaimanapun, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor ( LPHS ) telah melakukan semakan inventori secara menyeluruh untuk bangunan bertingkat di seluruh Negeri Selangor pada bulan November 2011. 

Hasil semakan pada 29 November 2011 mendapati 6 unit lif di Pangsapuri Taman Permai Indah telah rosak dan 2 unit lagi dalam keadaan yang tidak memuaskan. Pemerhatian menunjukkan kerosakan lif-lif itu berpunca dari perbuatan vandalisme.
 
Di sini ingin ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menyerahkan lif-lif tersebut kepada penduduk melalui JMB dalam keadaan yang baik. Perkara ini telah disahkan oleh JKKP. Adalah menjadi tanggungjawab JMB dan penduduk untuk memastikan lif-lif tersebut berada di selenggara dengan baik selepas itu.

Selepas pengalaman di Pangsapuri Taman Permai Indah, Kerajaan Negeri tidak lagi menanggung 100 peratus sebarang kos baikpulih. Tetapi telah diwujudkan Program Baikpulih Negeri Berkebajikan ( CERIA ) di mana Kerajaan Negeri menanggung 80 peratus dari kos dan penduduk menanggung 20 peratus kos yang boleh dibayar secara ansuran.

Kerajaan Negeri berpandangan sekiranya penduduk menanggung sebahagian dari kos baikpulih maka mereka akan menjaga kemudahan-kemudahan yang dibaikpulih dengan baik.

Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Skim Rondaan Kejiranan ( SEROJA ) bagi membanteras perbuatan vandalisme di pangsapuri-pangsapuri kos rendah. Di dalam skim yang serupa seperti Rukun Tetangga, penduduk akan membuat rondaan di kawasan pangsapuri mereka dan Kerajaan Negeri akan menanggung kos-kos rawatan perubatan sekiranya berlaku kemalangan atau sebarang musibah.

Bagi kerosakan lif-lif di Pangsapuri Taman Permai Indah, Kerajaan Negeri akan menawarkan lif-lif tersebut dibaikpulih di bawah CERIA. Walau bagaimanapun, masalah vandalisme  perlu diselesaikan terlebih dahulu. Tidak ada gunanya membaikpulih lif-lif tersebut tetapi akan dirosakkan selepas itu. Di dalam hal ini, JMB perlu memainkan peranan besar. Pegawai Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbadanan Klang ( MPK ) akan diarah membantu JMB.

Kerajaan Negeri juga akan memulakan kajian dari sudut perundangan bagi membantu JMB atau MC mendakwa pelaku-pelaku vandalisme di mahkamah. Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen untuk membanteras vandalisme pada penggal yang lepas, masanya telah tiba untuk mengambil tindakan-tindakan yang tegas.


YB Tuan Iskandar bin Abdul Samad
EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan & Peneroka Bandar
Negeri Selangor
11 Jun 2013

Friday 7 June 2013

KERAJAAN NEGERI TUBUH JAWATANKUASA KHAS PANTAU PENJUALAN RUMAH BUKIT BOTAK - Sinar Harian 5 Jun 2013.

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor memandang serius campur tangan ejen hartanah yang menawarkan harga yang tinggi kepada pemilik perumahan Bukit Botak, di Selayang, baru-baru ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad mendakwa pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk terbabit apabila didatangi ejen hartanah yang ingin membeli kediaman mereka pada harga RM290,000 seunit sebelum dijual kepada pihak lain yang diiklankan menerusi internet.

"Kerajaan negeri pandang serius kerana tak mahu pembeli rumah bukit botak dieksplotasi ejen hartanah itu.

"Kerajaan negeri tubuh jawatankuasa khas untuk bantu mereka yang benar-benar mahu menjual tersebut tanpa melibatkan orang tengah yang mengaut keuntungan tinggi," katanya pada sidang media di Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Projek penempatan semula setinggan Bukit Botak, Selayang melibatkan 1,400 pemilik tanah, merangkumi kawasan seluas 55.2 hektar.

Projek terbengkalai yang gagal disiapkan oleh kontraktor Delpuri Corporation Sdn Bhd itu bagaimanapun disiapkan sepenuhnya Kerajaan Negeri Selangor selepas menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penyelewengan dan penipuan dalam pemberian tanah kepada bekas penduduk setinggan Bukit Botak pada 20 Mei 2009.

Dalam pada itu, Iskandar berkata harga yang ditawarkan kepada penduduk Bukit Botak ketika itu sebanyak RM99,000 seunit itu boleh mencecah lebih RM300,000 pada harga pasaran semasa jika mereka menjual hartanah tersebut tanpa menggunakan 'orang tengah' terbabit.

"Isu itu timbul selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 bila ejen hartanah tawar RM290,000 kepada mereka.

"Bagaimanapun kita perlu berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan PKNS untuk lihat syarat-syarat tertentu jika pemilik mahu menjual semula," katanya.

SASARAN 5 TAHUN DILANCAR - Sinar Harian 2 Mei 2013.


Sasaran lima tahun dilancar
Iskandar (dua, kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang media pelancaran Sasaran Lima Tahun Manifesto Dun Chempaka 2013 hingga 2018 di Pusat Tarbiyyah Pandan, semalam.
PANDAN INDAH - Penyandang kerusi Dun Chempaka, Iskandar Abdul Samad melancarkan Sasaran Lima Tahun Manifesto Dun Chempaka 2013 hingga 2018 yang akan dilaksanakan sekiranya beliau terus diberi mandat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Iskandar berkata, selain manifesto ditawarkan Pakatan Rakyat (PR) dan kerajaan negeri, manifesto berkenaan adalah khusus untuk pengundi dan penduduk kawasan Chempaka.

Beliau berkata, apa dibentangkannya itu bukan lagi di peringkat angan-angan, tetapi pihaknya sudah membuktikannya sebelum ini dan terdapat tambahan dan beberapa perkara baru yang terkandung dalam manifesto tersebut.

“Banyak sasaran atau rancangan sebelum ini berjaya kami laksanakan dalam tempoh pentadbiran selama lima tahun ini.

"Disebabkan permintaan yang sangat tinggi daripada masyarakat tempatan, maka ia perlu ditambah bagi mengimbangi keperluan tersebut,” katanya semasa sidang media pelancaran sasaran lima tahun Dun Chempaka di Pusat Tarbiyyah Pandan, semalam.

Dalam manifesto yang dilancarkannya itu, Iskandar menggariskan 12 sasaran antaranya mewujudkan sebuah lagi perpustakaan komuniti di Pandan Indah seperti di Pandan Jaya dan membina dataran anak muda di Taman Chempaka serta Taman Cahaya yang lengkap dengan gelanggang futsal dan sepak takraw.

Iskandar berkata, selain itu beliau mahu membina lima pondok polis di lokasi-lokasi kritikal untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan demi kepentingan rakyat.

“Seterusnya, kita juga ingin memulakan kajian pembangunan semula bagi menambah bilangan rumah mampu milik tanpa menyisihkan warga tempatan.

"Sasaran lain ialah melebarkan zon bersih ke seluruh kawasan Dun Chempaka dan mempertingkatkan aktiviti Pusat Wanita Berdaya yang sedia ada di Pandan Indah.

"Kita juga mahu mengembangkan program Prihatin Warga Emas di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan ke empat lokasi lain iaitu Kampung Baru Ampang, Pandan Indah, Pandan Jaya dan Taman Nirmana," katanya.

Beliau berkata, selain itu beliau menginginkan supaya sekurang-kurangnya 20 projek Ceria dilaksanakan bagi membaik pulih pangsapuri-pangsapuri di Pandan Indah, Pandan Jaya dan Taman Dagang dan pusat perniagaan makanan tradisional dan kraftangan diwujudkan di Kampung Pandan sebagai tarikan pelancong.

"Saya juga ingin mewujudkan tiga lokasi Kafa Menengah dan memberi peluang kepada pemilik rumah di Jalan Kemajuan menukar syarat kegunaan tanah dari kediaman kepada perniagaan.
"Sasaran terakhir ialah memusatkan warung-warung dan penjaja di satu lokasi khas,” katanya.

Iskandar berkata, beliau berkeyakinan tinggi untuk melaksanakan setiap sasaran dirancang kajian telah dilakukan dan dana serta peruntukan bakal digunakan sudah dikenal pasti.

“Selain itu, apa yang kami lakukan sepanjang lima tahun mentadbir terutamanya di negeri Selangor ini, itulah yang akan kami persembahkan kepada rakyat untuk dinilai dengan adil,” katanya.