Wednesday 18 December 2013

CABARAN NOH MENUNJUKKAN BELIAU TIDAK PRIHATIN KEPADA PENDERITAAN RAKYAT.

Cabaran Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar agar Kerajaan Negeri Selangor membeli saham majoriti di dalam syarikat konsesi lebuh raya jika mahu membantah kenaikan tol menunjukkan beliau tidak prihatin kepada penderitaan rakyat.

Beliau tidak sepatutnya menempelak usaha Kerajaan Negeri untuk menghalang kenaikan ini tetapi sama-sama memikirkan cara-cara untuk memastikan kenaikan ini tidak berlaku.

Kenaikan tol ini sepatutnya dibantah oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana yang akan terbeban dengan kenaikan tersebut adalah seluruh rakyat Malaysia termasuk ahli-ahli UMNO.

Dengan kenaikan ini kos barangan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan lebuhraya sudah tentu akan meningkat. Contohnya kos barangan yang dihantar melalui lebuh raya sudah tentu akan naik dan ini bermakna kenaikan tol ini akan juga memberi kesan kepada rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sebagai kerajaan negeri berkebajikan komited untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin. Ini terbukti dengan pelbagai program-program jangkapendek dan jangkapanjang untuk membantu rakyat.

Oleh yang demikian arahan Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim agar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghalang kenaikan tol bagi lebuhraya di mana ia mempunyai pegangan saham adalah konsisten dengan pendirian Kerajaan Negeri selama ini.

Walaupun jika Datuk Seri Noh hendak mempertahankan kenaikan ini sekurang-kurangnya beliau mencadangkan cara-cara bagaimana beban rakyat dapat dikurangkan.

UMNO sering mengajak PAS bermuzakarah demi kepentingan ummah secara khusus dan rakyat secara am tetapi sikap yang ditunjukkan oleh Pengerusi UMNO Selangor ini menunjukkan pemimpin-pemimpin UMNO hanya mementingkan keuntungan politik.

Sehubungan itu, saya berpandangan adalah lebih baik UMNO mencari pemimpin lain yang lebih prihatin kepada kebajikan rakyat untuk memimpin UMNO Selangor. Pada saya, terdapat pemimpin-pemimpin lain seperti YB Dato' Shamsuddin Lias, Ahli Dewan Negeri Sg Burung yang lebih layak memimpin UMNO Selangor.

Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
19 Disember 2013

Tuesday 17 December 2013

BUKA SELUAS-LUAS RUANG UNTUK MEREKA YANG MAHU BERPERANAN DI DALAM PAS - ISKANDAR

Klang, 17 Dis - Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad, mahu seluas-luas ruang dibuka untuk mereka yang mahu berperanan di dalam PAS.

Beliau berucap sedemikian ketika membuat lawatan ke Klang malam tadi untuk bertemu dengan pimpinan dan ahli-ahli PAS di sana.

Iskandar yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya 1 Disember lepas berkata terdapat ramai  yang bersedia menyumbang tenaga dan kepakaran maka ia seharusnya digembelingkan untuk memacu PAS ke hadapan.

"Mereka seharusnya diberi peranan sesuai dengan kemampuan masing-masing kerana masih terdapat banyak ruang di dalam PAS untuk semua," katanya.

Menurut beliau juga, ahli-ahli PAS hendaklah mengamalkan sikap bersangka baik dan mengenepikan budaya label melabel yang sengaja diwujudkan oleh musuh.

Iskandar juga menasihatkan pimpinan PAS di Selangor agar memandang ke luar dengan menganjurkan program-program bukan sahaja untuk ahli-ahli PAS tetapi untuk seluruh masyarakat sesuai dengan tema Muktamar PAS tahun ini "Rahmat Untuk Semua".

Majlis telah berlangsung di Pejabat PAS Cawangan Palm Grove dan turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Klang, Ustaz Ahmad Nazri Nawi selaku tuan rumah.

Iskandar yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor telah memaklumkan malam tadi bahawa beliau sedang mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan Parlimen di Selangor untuk bertemu pimpinan dan ahli-ahli PAS.

Disediakan oleh Unit Media PKM Chempaka.

Wednesday 11 December 2013

PIMPINAN PAS SELANGOR LENGKAP DIPILIH.

Malam tadi Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama sejak Muktamar PAS 2013.

Sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan PAS, berikut adalah perlantikan-perlantikan yang dilakukan malam tadi untuk memimpin PAS Selangor bagi sessi 2013-15,

Timbalan Pesuruhjaya 1 - YB Ustaz Sallehin Mukhyi

Timbalan Pesuruhjaya 2 - YB Mohd Shafie Ngah

Timbalan Pesuruhjaya 3 - YB Dr Siti Mariah Mahmud

Setiausaha - YB Mohd Khairuddin Othman

Bendahari - YB Dr Ahmad Yunus Khairi

Pengarah Pilihanraya - Cikgu Jaafar Shamsuddin

Ketua Penerangan - YB Haji Zaidy Abdul Talib

Penolong Setiausaha 1 - Muhd Azeman Muhd Yunus

Penolong Setiausaha 2 - Khairulfami Matsom

Penolong Setiausaha 3 - Azri Mohd Arish

Sebelum ini, Pesuruhjaya telah dilantik oleh Presiden PAS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 1 Disember 2013.

Sementara Ketua Dewan Ulamak Ustaz Muhammad Zain Abdul Rahman, Ketua Dewan Pemuda Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim  dan Ketua Dewan Muslimat Hajjah Wan Hasrina Wan Hasan telah dipilih pada Muktamar Dewan masing-masing.

Saf kepimpinan PAS Selangor sama ada yang dipilih atau dilantik ini merupakan gandingan dari pelbagai kepakaran dan latar belakang.

Terdapat Ulamak, doktor, peguam, peguam syari'e, arkitek, pendidik, ahli perniagaan dan aktivis masyarakat yang menganggotai saf kepimpinan tersebut.

Harapan rakyat terhadap PAS di Selangor adalah begitu tinggi dan saf kepimpinan ini akan memastikan agar harapan rakyat itu dapat dipenuhi.

Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
11 Disember 2013

Monday 2 December 2013

PENGGULUNGAN YB ISKANDAR A SAMAD KETIKA MENJAWAB PERKARA YANG DIBANGKITKAN OLEH YB TUAN RAJIV A/L RISHYAKARAN ( BUKIT GASING ).

Saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan Bukit Gasing terhadap usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri ( RSN ) Selangor 2035.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor sedang menyediakan RSN Selangor 2035 selaras dengan keperluan Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, Akta 172.

Kajian semula ini apabila diwartakan akan menggantikan RSN Selangor 2020.

Kerja-krja telah dimulakan pada 4 Jun 2012, beberapa siri bengkel dan mesyuarat teknikal dan mesyuarat pemandu bersama-sam agensi / jabatan kerajaan termasuk negeri-negeri bersempadanan telah diadakan bagi memastikan penyediaan kajian RSN Selangor 2035 ini menepati keperluan semasa dan lebih menyeluruh.

RSN Selangor 2035 merupakan kajian perancangan bersepadu yang melibatkan kajian 20 sektor perancangan antaranya adalah,

1.) Pengangkutan dan lalulintas
2.) Perumahan
3.) Gunatanah fizikal.
4.) Perniagaan dan perkhidmatan
5.) Perindustrian
6.) Pelancongan
7.) Kemudahan masyarakat
8.) Pemeliharaan alam sekitar
9.) Pembangunan infrastruktur dan utiliti

Kajian semula RSN Selangor 2035 ini akan dibuka kepada orang awam dan pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan, maklumbalas, cadangan dan bantahan pada bulan Mac 2014 untuk tempoh sebulan yang selari dengan Akta 172.

Apabila telah diwartakan, RSN Selangor 2035 akan menjad rujukan utama untuk usaha-usaha memacu perancangan fizikal dan membantu pertumbuhan ekonomi Selangor sehingga 2035.