Wednesday 20 August 2014

PEMBAYARAN SMUE DITERUSKAN SEPERTI BIASA.

Pembayaran untuk fasa pertama Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu RM1,000 akan diteruskan seperti biasa.

Pembayaran adalah melalui saluran biasa iaitu Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP) dan Penyelaras Kawasan Dewan Negeri (KDN) Pakatan Rakyat.

Tidak pernah ada arahan dari kerajaan negeri untuk menggantung program ini.

Untuk sebarang pertanyaaan orang ramai bolehlah menghubungi ADN Pakatan Rakyat atau Penyelaras KDN Pakatan Rakyat mereka. Mereka juga boleh menghubungi Rantaian Mesra Sdn Bhd di 03-5510 3468 / 3472 (En Mohd Fauzi Nordin).

Iskandar A Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
21 Ogos 2014

Tuesday 19 August 2014

TABUNG L'CERIA : RM5 JUTA KHUSUS UNTUK BAIKPULIH LIF.




Kerajaan negeri Selangor hari ini telah memanggil kontraktor-kontraktor lif utama di negara ini bagi membincangkan masalah lif-lif di rumah kos rendah.

Pertemuan telah dipengerusikan Menteri Besar serta dihadiri oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar YB Iskandar A. Samad dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) Puan Norzaton Aini Mohd. Kassim.

Minggu lepas kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan tabung L'CERIA bertujuan untuk membantu penduduk pangsapuri kos rendah membaik pulih lif-lif mereka. Had tabung ini telah ditetapkan pada RM5 juta.

Sejak 2012 kerajaan negeri telah menubuhkan Tabung Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA bagi membantu penduduk pangsapuri kos rendah membaikpulih pangsapuri mereka. Lebih RM13 juta telah dibelanjakan bagi Fasa 1.

Pada awal tahun ini kerajaan negeri juga telah juga meluluskan had bagi tabung ini sebanyak RM13 juta.

Walau bagaimanapun 70 peratus dari peruntukan ini akan digunakan untuk membaikpulih lif. Oleh itu satu tabung baru perlu diwujudkan khusus untuk lif.

Ini bermakna Tabung CERIA adalah semata-mata untuk kerja-kerja baikpulih selain dari lif seperti membaikpulih bumbung, tangki air dan paip air serta mengecat bangunan.

Pertemuan dengan kontraktor-kontraktor hari ini telah dapat mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Maka dengan itu kerja-kerja baikpulih yang akan dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
19 Ogos 2014

LAWATAN KE BILIK GERAKAN SEROJA PANGSAPURI KENANGA, BUKIT BERUNTUNG.



Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad telah mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan SEROJA (Skim Rondaan Keselamatan Dan Kejiranan) Pangsapuri Kenanga, Bukit Beruntung pada 17 Ogos lepas.

SEROJA adalah seperti Rukun Tetangga yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Selangor di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

Setiap skim yang diwujudkan akan mendapat peruntukan RM10,000 setahun bagi menganjurkan program-program kemasyarakatan.

Peserta SEROJA yang menjalankan rondaan dilindungi oleh kerajaan negeri jika berlaku kecederaan, kemalangan atau musibah.

Sasaran untuk tahun hadapan adalah memastikan 50 kawasan pangsapuri kos rendah akan menyertai SEROJA.

Untuk tahun ini 5 kawasan pangsapuri telah menyertai skim ini dan 10 kawasan telah diluluskan untuk dilaksanakan.

Skim ini bukan hanya bertujuan untuk mengurangkan kejadian jenayah dan vandalisme tetapi dapat mewujudkan semangat kerjasama di kalangan penduduk.

Iskandar A Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
19 Ogos 2014.