Thursday 23 October 2014

SELANGOR TUBUH TABUNG UNTUK PULIHKAN PROJEK TERBENGKALAI.

Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan penubuhan satu tabung khas untuk memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai.

Tabung ini yang dinamakan Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) akan memiliki dana sehingga RM20 juta.

Dana ini akan disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Kos pemulihan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan pembeli.

Peratus kos yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan pembeli untuk memulihkan sesuatu projek terbengkalai adalah seperti berikut :

( i.) Rumah Kos Rendah (RM35,000 hingga RM42,000) - 100 peratus Kerajaan Negeri / 0 peratus pembeli.

( ii.) Rumah Kos Sederhana Rendah (RM72,000) - 80 peratus Kerajaan Negeri / 20 peratus pembeli.

( iii.) Rumah Kos Sederhana (RM100,000) - 70 peratus Kerajaan Negeri / 30 peratus pembeli.

( iv.) Harga jualan RM101,000 hingga RM200,000 - 40 peratus Kerajaan Negeri / 60 peratus pembeli.

( v.) Harga jualan RM201,000 hingga RM300,000 - 30 peratus Kerajaan Negeri / 70 peratus pembeli.

Walau bagaimanapun tabung ini akan mengutamakan Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana.

Setakat ini 4 projek perumahan terbengkalai yang melibatkan hampir 1,000 unit kediaman telah dikenalpasti untuk dipulihkan.

Projek-projek lain akan dikenalpasti selepas ini.

Penubuhan tabung ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mangsa-mangsa projek terbengkalai. Sebelum ini Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang bertujuan untuk membantu pemaju dan pembeli projek terbengkalai mencari jalan penyelesaian.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
23 Oktober 2014