Wednesday 26 February 2014

Penstrukturan semula industri air satu berita air untuk penduduk pangsapuri.

Penstrukturan semula industri air di Selangor memang ditunggu-tunggu oleh rakyat negeri ini.

Menurut MOU yang ditandatangani bersama Kerajaan Persekutuan hari ini, Kerajaan Negeri akan mengambil alih 4 syarikat konsesi air di Selangor dan satu konsortium yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri akan menguruskan industri ini.

Apabila industri tersebut diuruskan sendiri oleh Kerajaan Negeri maka kerajaan boleh membuat keputusan-keputusan yang secara langsung dapat menyelesaikan banyak masalah rakyat.

Contohnya dalam usaha untuk memastikan penduduk pangsapuri mendapat air percuma dengan melakukan migrasi dari meter pukalkepada meter individu, Kerajaan Negeri terpaksa berunding dengan Syabas agar syarat-syarat migrasi ini dapat permudahkan.

Syarat-syarat seperti peratus persetujuan (consent) penduduk yang tinggi menghalang kelulusan banyak permohonan-permohonan migrasi. Kerajaan Negeri terpaksa menunggu kelulusan pengurusan Syabas sekiranya terdapat permohonan di mana peratus persetujuan ini diturunkan.

Terdapat juga syarat-syarat lain yang sering menghalang atau melambatkan proses migrasi.

Proses ini akan dapat dipermudah dan dipercepatkan setelah industri air ini diurus sendiri oleh syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat juga banyak masalah-masalah lain yang melibatkan bekalan air di pangsapuri-pangsapuri yang akan dapat diselesaikan atau dikurangkan dengan penstrukturan ini.

Iskandar A Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
26 Februari 2014

Tuesday 18 February 2014

AHLI-AHLI MAJLIS MESTI SETARAF DENGAN MENTERI DAN EXCO.

Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk sessi yang baru telah mula mendapat surat perlantikan mereka mulai minggu lepas.

Ada di antara mereka yang terdiri dari orang-orang yang baru dan ada yang terdiri dari orang-orang yang lama.

Kerajaan Negeri telah menetapkan separuh Ahli-Ahli Majlis diganti. Ia untuk memberi peluang kepada orang-orang baru dan supaya idea-idea baru dapat disuntik ke dalam pentadbiran PBT.

Walau bagaimanapun demi kesinambungan dan untuk memastikan terdapat mereka yang berpengalaman maka telah dikekalkan separuh dari bilangan Ahli-Ahli Majlis dari sessi yang lalu.

PBT adalah peringkat yang penting di dalam sistem pentadbiran negara kita. Ia sering dikenali sebagai "kerajaan ketiga" selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. PBT menetap dan memungut cukai seperti cukai pintu dan lesen perniagaan; meluluskan pembangunan melalui OSC (One Stop Centre); merancang, menyediakan dan membaikpulih kemudahan awam serta meluluskan undang-undang kecil yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

Memandangkan peranan dan kuasa yang pada PBT, terdapat ramai yang mahu Ahli-Ahli Majlis itu dipilih di dalam satu pilihan raya dan bukan dilantik oleh parti-parti politik sepertimana sekarang. Asas tuntutan mereka adalah prinsip "No taxation without representation" atau "Tiada pencukaian tanpa perwakilan".

Tuntutan ini memang wajar kerana contohnya Ahli-Ahli Majlis yang menetapkan cukai pintu dan kadar fi untuk lesen perniagaan mesti bertanggungjawab kepada rakyat dan tidak hanya kepada parti mereka. Dengan adanya pilihan raya ini maka rakyat boleh menghukum Ahli-Ahli Majlis yang melulus dan melaksanakan polisi-polisi yang tidak memenuhi kehendak rakyat atau yang gagal menjalankan tugas mereka.

Pada tahun-tahun selepas kemerdekaan, pilihan raya ini atau dinamakan pilihan raya kerajaan tempatan telah dilaksanakan. Walau bagaimanapun apabila berlaku Konfrontasi maka ia telah digantung dan sehingga ke hari ini tidak lagi diadakan pilihan raya tersebut.

Mungkin sebab utama tidak diadakan kerana parti Kerajaan Pusat dan parti Kerajaan Negeri, ketika itu hampir kesemuanya parti Perikatan, tidak dapat mengawal kerajaan tempatan yang dikuasai oleh parti-parti pembangkang seperti Parti Buruh.

Oleh yang demikian, boleh dirumuskan peranan Ahli-Ahli Majlis adalah begitu penting di dalam pentadbiran negara dan peranan mereka adalah bagaikan Menteri dan Exco tetapi dalam ruang lingkup yang lebih kecil. Sudah tentu kebolehan dan kepakaran mereka juga mesti sepadan dengan tanggungjawab yang dipikul.

Ahli-Ahli Majlis bukan sekadar pegawai kebajikan masyarakat yang hanya menguruskan hal-hal kebajikan rakyat seperti menyalurkan bantuan atau menganjurkan program-program kemasyarakatan seperti majlis-majlis sambutan hari perayaan. Tetapi mereka juga akan membuat keputusan sama ada sesuatu pembangunan seperti projek perumahan atau pusat komersial boleh diluluskan atau tidak. Ahli-Ahli Majlis juga akan merangka dan meluluskan undang-undang kecil demi kelicinan pentadbiran sesuatu PBT dan juga demi kesejahteraan penduduk.

Selain dari itu, mereka juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan agar prinsip-prinsip dan agenda-agenda parti yang mereka wakili dipertahankan dan direalisasikan. Sekirannya seorang Ahli Majlis hanyalah sekadar seorang pegawai kebajikan masyarakat yang baik, belum tentu beliau berupaya mempertahankan prinsip-prinsip parti beliau. Walaupun beliau akan disukai oleh penduduk di dalam zon yang beliau jaga tetapi ini tidak ada gunanya sekiranya beliau hanya sekadar menjadi penumpang di dalam mesyuarat-mesyuarat PBT. 

Seorang pegawai sebuah PBT pernah berjumpa saya dan merayu agar PAS melantik Ahli-Ahli Majlis yang boleh bercakap di dalam mesyuarat dan tidak hanya berdiam diri. Tetapi kalau hanya sekadar bercakap sahaja pun tidak guna sekiranya tidak ada kaitan dengan perkara-perkara yang dibincangkan kerana berkemungkinan akan diketawakan oleh rakan-rakan dan pegawai-pegawai kerajaan.

Memang bukan mudah untuk mencari calon-calon Ahli Majlis yang telah dapat menguasai kesemua bidang ilmu yang relevan kepada pentadbiran sebuah PBT. Oleh yang demikian, penting bagi Ahli-Ahli Majlis melalui kursus-kursus untuk melengkapkan mereka dengan kepakaran dan kebolehan yang secukupnya. Ada banyak Akta, Enakmen dan Undang-Undang Kecil perlu dikuasai. Tetapi masalahnya akan berlaku keadaan di mana terdapat Ahli-Ahli Majlis yang masih teraba-raba dan ada pula yang telah jauh ke hadapan. 

Lebih parah lagi jika ada yang masih teraba-raba hingga ke akhir tempoh perlantikan mereka. Ini sudah tentu akan merugikan parti dan rakyat. Mungkin perlantikan Ahli Majlis perlu dibuat berdasarkan kebolehan dan bukan di atas kedudukan di dalam parti. Kita mahukan "Menteri" dan "Exco" di peringkat PBT dan bukan sekadar "Welfare Officer".

Iskandar A Samad
18 Februari 2014

Wednesday 12 February 2014

Wednesday 5 February 2014

PAS SELANGOR BUKA BILIK GERAKAN PILIHAN RAYA DI KAJANG.

Sukacita dimaklumkan bahawa PAS Selangor telah melantik Cikgu Jaafar Shamsuddin sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Selangor bagi Pilihan Raya Kecil Kawasan Dewan Negeri Kajang.

Sehubungan itu, Bilik Gerakan Utama PAS Selangor adalah di Pejabat PAS Kawasan Hulu Langat, G20-1A, Jalan Prima Saujana 2/D, Seksyen 2, Taman Prima Saujana, 43000 Kajang.

Petugas-petugas PAS dari dalam dan luar Selangor yang ingin bertugas di Kajang bolehlah menghubungi Mohd Shariff Din, Setiausaha Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Dewan Negeri Kajang di +60133883700 untuk penyelarasan.

Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
6 Februari 2014