Sunday, 6 May 2012

Program "Jejak Union" sempena Hari Pekerja 2012

Pada 29 Mei lepas saya telah menziarahi beberapa orang bekas pimpinan dan ahli kesatuan sekerja di kawasan Dewan Negeri Chempaka.

Saya telah berpeluang untuk beramah mesra dengan mereka dan keluarga mereka.

Sedikit cenderahati telah disampaikan kepada mereka yang diziarahi.

Saya amat kagum dengan kegigihan mereka memperjuangkan nasib para pekerja.

Seorang dari mereka menceritakan bagaimana mereka menuntut suasana kerja yang lebih baik dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan melarang ahli-ahli kesatuan membuat "overtime". Tindakan itu dan piket di hadapan Bangunan DBKL berjaya membawa Dato' Bandar ketika itu, Tan Sri Elyas Omar, berbincang dengan mereka.

Iskandar A. Samad

LAWATAN TAPAK KE KONDOMINIUM PANDAN MEWAH HEIGHTS.

Saya akan membuat lawatan tapak ke Kondominium Pandan Mewah Heights (Jln Pandan Mewah depan Hospital Ampang) berhubung permohonan penduduk untuk menggunakan kawasan lapang di situ sebagai tempat letak kereta sementara.

Kondominium itu mengalami kekurangan tempat letak kereta apabila berlaku tebing runtuh.

Tempat letak kereta sementara itu hanya diperlukan sehingga tebing itu dibaikpulih.

Tarikh lawatan adalah pada hari Isnin 7 Mei 2012 mulai jam 3 petang.

Wartawan dan jurufoto dijemput membuat liputan.

Iskandar A. Samad,
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor /
Ahli Dewan Negeri Chempaka

Saturday, 5 May 2012

SKIM RONDAAN KEJIRANAN SELANGOR DILAKSANAKAN DI 2 PANGSAPURI PERINTIS.

Skim rondaan kejiranan di pangsapuri-pangsapuri kos rendah akan dimulakan di 2 kawasan di Selangor selewat-lewatnya pada awal bulan Jun

2 pangsapuri di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang akan dipilih untuk program ini.

Perkara tersebut telah diumumkan pada Majlis Mesra JMB/MC bersama Dato' Menteri Besar Selangor di Dewan Hamzah, Klang petang tadi.

Buat permulaan Kerajaan Negeri akan menanggung kos perlindungan untuk 1,000 peserta pertama skim tersebut.

Sebuah syarikat insuran telah mengemukakan pelan perlindungan untuk mereka yang menyertai skim rondaan ini.

Adalah diharapkan skim ini akan dapat mengurangkan kadar jenayah dan kejadian vandalisme di pangsapuri-pangsapuri di Selangor.

Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan yang berminat menyertai skim ini bolehlah menghubungi Lt. (B) Kamaruzzaman di 013-2069522.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
5 Mei 2012

Sarapan bersama Ketua Kg dan Penyelaras Pusat Khidmat sebelum merasmikan Sambutan Jubli Emas Kg Baru Labu Lanjut, Sepang 6 Mei 2012.

MAJLIS MESRA JMB/MC BERSAMA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR DI DEWAN HAMZAH, KLANG 5 MEI 2012.

Wednesday, 2 May 2012

PELUANG TERAKHIR BAGI PEMBELI RUMAH KOS RENDAH PROJEK SG. SERING, HULU KELANG.

Pembeli-pembeli Rumah Kos Rendah Projek Sg. Sering, Hulu Kelang yang belum lagi mendapat sebarang pinjaman bank adalah diminta hadir di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Menara MPAJ, Jalan Pandan Utama di Pandan Indah pada hari Ahad, 13 Mei 2012 di antara jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dan MPAJ telah mendapat persetujuan beberapa buah bank bagi pembeli-pembeli tersebut membuat permohonan pinjaman bank.

Pembeli-pembeli yang telah ditolak permohonan mereka sebelum ini juga diminta hadir agar satu penyelesaian dapat dikenalpasti.

Pembeli-pembeli yang telah menerima notis pembatalan tawaran membeli Rumah Kos Rendah dari pemaju juga perlu hadir.

Program hari tersebut adalah tarikh akhir bagi mereka yang mempunyai masalah dengan bank atau sebarang masalah-masalah lain untuk mengemukakannya kepada Kerajaan  Negeri dan pemaju.

Mereka yang masih belum mendapat pinjaman bank dan tidak hadir pada hari tersebut berkemungkinan besar akan kehilangan hak membeli rumah di projek tersebut.


Iskandar bin Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
Negeri Selangor Darul Ehsan
Merangkap ADN Chempaka
2 Mei 2012