Friday, 9 August 2013

PENGAJARAN-PENGAJARAN DARI KES LIF ROSAK DI DESA MENTARI.

Penduduk marah kenapa lif2 masih belum dibaiki walaupun telah 2 minggu peruntukan kerajaan negeri diluluskan. 

Pada awalnya kerajaan negeri hendak melantik kontraktor yg boleh membaikpulih secepat mungkin. Tetapi kami dapati JMB ada kontrak penyelenggaraan dgn pembuat (manufacturer) lif - Ryoden Mitsubushi. Jika kontraktor lain menyentuh lif itu maka ia akan menjejaskan kontrak penyelenggaraan dgn Ryoden. 

Oleh itu, kerajaan negeri akur kpd keputusan JMB agar lif2 itu dibaikpulih oleh Ryoden. Memang keputusan JMB itu tepat sbb lebih baik guna spare part yg original. 

Tetapi spare part original ambil masa utk sampai. Kena order dari Jepun. Walau bagaimanapun setelah didesak, Ryoden setuju utk baikpulih 2 dari 5 lif yg hendak dibaiki guna spare part dari kontrak mereka yg lain. 

Tapi makan masa 2 minggu juga. Utk baki 3 lif lagi akan ambil masa 4 bulan. Saya telah arah Lembaga Perumahan (LPHS) utk desak lagi Ryoden supaya percepatkan kerja2 baikpulih atau cari alternatif yg lebih cepat. 

PENGAJARAN-PENGAJARAN : 

( 1 ) UTK REPAIR LIF AKAN AMBIL MASA TERUTAMANYA YG DAH LAMA TAK DISELENGGARA.

( 2 ) PASTIKAN CAJ PENYELENGARAAN DIBAYAR MENURUT JADUAL SUPAYA PENYELENGGARAAN DAPAT DILAKUKAN.

( 3 ) KALAU ADA YG BAYAR DAN ADA YG TIDAK MAKA KESEMUA PENDUDUK AKAN TERSIKSA. ITU SEBAB KERAJAAN NEGERI TELAH MULA DAKWA DI MAHKAMAH MEREKA YG DEGIL TAK MAHU BAYAR.

PENJELASAN TENTANG DEWAN TERBUKA KG PANDAN.


Seperti yg pernah saya jelaskan, cukup payah nak dapat peruntukan dari Geran Selangorku.

Utk mendapatkan peruntukan membina dewan itu memakan masa berbulan-bulan walaupun kosnya tidak tinggi, manfaatnya banyak dan amat diperlukan. 

Pada majlis pecah tanah, saya memberitahu saya terpaksa menulis 8 pucuk surat kepada Menteri Besar untuk mendapatkan kelulusan peruntukan. Itu pun dapat separuh kos aje, MPAJ kena biayai separuh lagi kos. Dan itu pun dapat dewan terbuka bukan tertutup.

Geran Selangorku ditadbir oleh satu JK Khas. Tidak ada wakil Exco di dalamnya. Tidak ada wakil PAS di dalamnya. Mereka tidak melaporkan kepada Exco.

Jadi pada pandangan saya kita terima dulu dewan terbuka. Nak dapat dewan terbuka ni pun macam 3 kali mati hidup balik. Untuk fasa kedua kita buat penambahan untuk jadikan ia tertutup.

Ada yang kata mereka tak nampak "nilai positif" pada dewan terbuka itu, sabar dulu! Kita tunggu fasa kedua.

BODOHKAH KERAJAAN NEGERI CUBA MEMBANTU PENDUDUK DESA MENTARI?

Ada org kata Kerajaan Negeri bodoh kerana campur tangan isu lif rosak di Desa Mentari. Ia bukan masalah kerajaan. Caj penyelenggaraan yg dikutip pemaju tidak cukup utk selenggara lif. Ramai penduduk tak bayar caj RM45 sebulan yg ditetapkan oleh pemaju.

Akhirnya Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menyita lif2 itu kerana ia tidak lagi selamat. Ada kabel lif telah putus. Tinggal satu aje. Kalau itu pun putus ........ habis!

Jadi ia di antara pemaju dan penduduk. Kalau penduduk bayar maka pemaju akan repair. Lif2 itu pun boleh bergerak semula. Takde kena mengena langsung dgn kerajaan. Kalau kerajaan tak mahu bantu pun takpe! Kenapa tak mahu bayar caj penyelenggaraan bulanan.

Tapi saya telah bentang kes ini di dalam Mesyuarat Exco dan Exco setuju luluskan RM100,000 dibawah CERIA utk repair lif. Lembaga Perumahan akan memantau kerja2 baikpulih.

Ada yg kata ini kerja gila! Kata mereka kerajaan telah menghulur kepala utk disembelih! Kalau ada masalah dgn kerja2 baikpulih maka kerajaan akan disalahkan.

Patutnya org yg tak bayar yg kena bantai tapi sebab kerajaan dah campur tangan maka kerajaan akan jadi mangsa.

Hari ini terbukti betul kata mereka! Utk repair lif bukan mudah. Terutamanya lif yg dah lama tak diselenggara.

Spare part lift bukan macam spare part kereta. Bukan boleh beli di tepi jalan. Kena order, ambil masa.

Kerajaan dah percepatkan pengeluaran peruntukan. Tapi kerajaan takde kawalan ke atas kerja2 repair. Nak lantik kontraktor pun satu hal. Tak boleh lantik suka2 aje. Silap lantik warranty utk seluruh lif akan batal.

Kalau dah siap pun perlu disahkan oleh JKKP sebelum boleh digunakan. Ye lah ia melibatkan nyawa, tak boleh hentam aje.

Sekarang kerajaan kena bantai sebab proses baikpulih masih berjalan.Adakah berbaloi kerajaan campur tangan?

Pada saya menjadi tanggungjawab kerajaan utk bantu rakyat. Sama ada rakyat nak ucap terima kasih atau nak maki, itu di antara mereka dan Allah. Dalam kubur sama2 kita jawab.

Monday, 5 August 2013

KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A SAMAD : KEMENTERIAN PERUMAHAN PERLU SEMAK SEMULA SENARAI PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI.

Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan ( KPKT ) perlu mengkaji semula status projek-projek yang telah disenaraihitam sebagai projek terbengkalai jika ianya telah diambil alih oleh pemaju penyelamat dan berjaya dipulihkan.

Kerajaan Negeri Selangor telah menerima aduan dari pemaju penyelamat bahawa projek terbengkalai yang mereka ( pemaju ) ambil alih telah berjaya dipulihkan tetapi orang ramai yang ingin membeli unit-unit di situ gagal mendapat kelulusan pinjaman dari bank.

Bank terpaksa menolak permohonan mendapatkan pinjaman bagi projek seperti itu kerana ia masih berada di dalam senarai projek terbengkalai.

Akibat dari itu pemaju menghadapi masalah untuk menjual unit-unit yang masih tidak terjual dan ini memberi kesan kepada keupayaan pemaju mendapatkan pembiayaan kewangan.

Contohnya terdapat sebuah projek Rumah Kos Rendah di Subang yang berjaya dipulihkan dan telah lebih 80 peratus siap tetapi oleh kerana KPKT masih menyenaraikannya sebagai projek terbengkalai maka 140 orang pembeli telah gagal mendapat pinjaman bank.

Oleh itu, Kerajaan Negeri menggesa KPKT mengeluarkan projek yang berjaya dipulihkan dari senarai hitam itu agar projek tersebut dapat disiapkan menurut jadual yang ditetapkan oleh pemaju penyelamat.

Pejabat ini berharap satu pertemuan di antara Kerajaan Negeri dan KPKT dapat diadakan dengan segera bagi membincangkan perkara ini dan isu-isu perumahan lain. Di antara isu-isu itu adalah harga rumah yang semakin meningkat, pembinaan Rumah Mampu Milik dan penyelenggaraan pembangunan bestrata.

Pada penggal lepas Pejabat ini telah 2 kali menulis kepada Menteri yang terlibat memohon pertemuan tetapi tidak pernah ada jawapan dari KPKT.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Kerajaan Negeri Selangor
5 Ogos 2013

Wednesday, 31 July 2013

EXCO SELANGOR DIUGUT SAMSENG BERPARANG - Harakahdaily


AMPANG, 1 OGOS 2013 : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad mendakwa telah diugut sekumpulan samseng berparang yang dipercayai ada kaitan dengan isu penguatkuasaan terhadap gerai haram di Kg Pandan.

Menurutnya, ianya bermula apabila pihak berkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) cuba menghantar notis kepada sebuah gerai haram di sini pada 22 Julai lepas.

Kemudian, setibanya di gerai itu, penguatkuasa tersebut telah diserang oleh tujuh orang lelaki bersenjatakan parang.

Bagaimanapun menurut Iskandar, penguatkuasa itu sempat lari namun cermin kenderaan mereka telah dipecahkan dan tayar kereta mereka telah dipotong oleh samseng terbait.

Selepas kejadian itu katanya, Ahli Majlis zon tersebut, Mohd Fauzi Khamis pula telah diugut samseng terbait.

"Malam tadi Fauzi telah memberitahu bahawa beliau diminta untuk menyampaikan mesej dari pihak yang menyerang penguatkuasa itu supaya saya berhati-hati.

"Kemungkinan besar ugutan-ugutan ini dibuat supaya kami tidak membangkitkan isu gerai-gerai haram di Kg Pandan," katanya kepada Harakahdaily.

Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri berkata, kawasan Kg Pandan dibanjiri dengan gerai-gerai dan premis-premis perniagaan haram warga asing. 

Malah katanya, ada di antara mereka yang menyewa dari orang tempatan.

Menurut Iskandar lagi, terdapat juga kafe siber tanpa lesen yang beroperasi 24 jam di sana.

"Apabila MPAJ hendak bertindak mereka diserang dengan parang. Maklumat operasi mereka dipercayai telah dibocorkan oleh orang dalam.

"Di mana kumpulan lelaki berparang itu mendapat maklumat tarikh dan masa kedatangan MPAJ?" soalnya.

Sehubungan itu beliau meminta polis Ampang agar segera bertindak memandangkan serangan tersebut sudah tujuh hari berlalu.

"Telah lebih 7 hari sejak kejadian serangan tetapi rakyat masih tidak dapat melihat sebarang tindakan yang meyakinkan.

"Jika polis dan MPAJ gagal bertindak maka Kg Pandan akan menjadi kawasan tanpa undang-undang," katanya.

Thursday, 25 July 2013

KENYATAAN AKHBAR : TIDAK BENAR MPAJ TIDAK AKAN ANGKAT SAMPAH.

Saya ingin mengesahkan di sini bahawa khabar angin bahawa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menggantung perkhidmatan mengangkat sampah di Kg Pandan di atas sebab-sebab keselamatan adalah tidak benar. Saya telah hari ini mendapat pengesahan daripada Yang Dipertua MPAJ, Dato' Mohammad Yaacob.

Khabar angin ini mungkin timbul berikutan kejadian pasukan penguatkuasa MPAJ yang cuba menghantar notis kepada sebuah gerai haram di situ telah diserang oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang.

Walau bagaimanapun, saya membantah walaupun memahami jika MPAJ berhasrat untuk menggantung perkhidmatan tersebut sekiranya berlaku lagi serangan seperti itu.

Selain dari serangan tersebut, saya juga telah menerima laporan bahawa sebuah lori MPAJ telah turut dipecahkan cermin dan 4 tayarnya dipotong.

Jika keadaan seperti ini berterusan maka kerja-kerja lain melibatkan MPAJ seperti kerja-kerja MARRIS (turap dan baikpulih jalan), projek membaikpulih longkang dan pembinaan dewan orang ramai di Jln H juga berhadapan dengan kemungkinan digantung demi keselamatan kakitangan dan kontraktor MPAJ.

Malah sekiranya keadaan menjadi bertambah tidak terkawal kerana saya difahamkan bahawa Ahli Majlis zon tersebut turut diugut, program Pejabat Ahli Dewan Negeri Chempaka di Kg Pandan seperti Jom Shopping, penyampaian bantuan Hari Raya, sambutan-sambutan dan pembayaran sumbangan Skim Mesra Usia Emas terpaksa ditangguh.

Saya amat berharap perkara tersebut tidak akan berlaku dan keadaan di Kg Pandan akan dapat kembali pulih seperti sediakala.

Adalah tidak adil seluruh penduduk kampung menerima hukuman akibat tindakan segelintir.


Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka

Wednesday, 24 July 2013

LIF-LIF DESA MENTARI AKAN DIBAIKPULIH DI BAWAH PROGRAM CERIA.


Iskandar Samad
SHAH ALAM, 24 JULAI : Penghuni empat blok Pangsapuri Desa Mentari boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM100,000 bagi membaiki lif yang rosak.
Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih kesemua lif itu akan menggunakan peruntukan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria).
Katanya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membantu penduduk di situ ekoran maklumbalas daripada pihak pemaju yang mengatakan pungutan penyelenggaraan pangsapuri berkenaan adalah tidak mencukupi.
“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap nasib penduduk yang terpaksa menggunakan tangga sebanyak 18 tingkat dalam bulan Ramadan ini.
“Kita mengambil keputusan untuk mempercepatkan proses menggunakan Skim Ceria tanpa mengikut prosedur biasa kerana ia perlu dibaikpulih dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini.
Dalam sidang media sama, Iskandar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau, membaikpulih serta menyelesaikan masalah kersoakan lif di kawasan pangsapuri kos rendah seluruh Selangor.
Jelasnya, pasukan ini akan bertindak untuk memantau keadaan lif di pangsapuri supaya sebarang masalah atau kerosakan dapat dikesan lebih awal.
“Kerajaan Negeri memandang serius tentang kerosakan lif di seluruh Selangor, justeru penubuhan pasukan khas ini dapat mengesan sebarang kerosakan sebelum ia berlaku lebih serius,” katanya lagi.