Tuesday, 28 February 2012

KERAJAAN NEGERI SELANGOR PELOPORI PEMBINAAN RUMAH MAMPU MILIK.

SHAH ALAM, 5 JUL 2012 : Selangor menjadi negeri pertama yang memperkenalkan Skim Rumah Mampu Milik sebagai inisiatif membantu golongan berpendapatan rendah sekaligus merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah dengan harga rendah.

Menteri Besar,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata program perumahan mampu milik ini adalah usaha kerajaan negeri bagi menyediakan rumah yang selesa, selamat dan tersusun mengikut kemampuan golongan sasaran.

Menurut Abdul Khalid, projek ini adalah satu usaha untuk kepentingan rakyat dan bukannya menguntungkan pemaju.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri merupakan pelopor kepada program perumahan itu berbanding kerajaan pusat yang memperkenalkannya pada awal  tahun ini.

Beliau, bagaimanapun mengalu-alukan inisiatif kerajaan pusat itu untuk melaksanakan skim perumahan tersebut.

"Kerajaan negeri telah merangka projek ini sejak tahun 2009 dan diluluskan pada awal 2010, berbeza dengan skim yang ditawarkan kerajaan persekutuan yang diumumkan awal 2011.

"Kami mengalu-alukan inisiatif kerajaan pusat untuk bina rumah mampu milik juga, ini bukan persaingan tetapi ia bergantung kepada usaha masing-masing.

"Oleh yang demikian tidak timbul isu kami mahu bersaing dengan kerajaan pusat, kerana Negeri Selangor terlebih dahulu memulakan skim seperti ini yang menawarkan harga RM100,000 ke bawah," katanya ketika ditanya pemberita mengenai perbezaan program perumahan kerajaan Negeri dan Pusat.

Enam lokasi pembinaan

Beliau sebelum itu, merasmikan Seminar Perumahan Mampu Milik Selangor di Shah Alam Convention Centre, di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan telah mengenal pasti enam lokasi untuk pembinaan perumahan mampu milik iaitu di Bangi, Antara Gapi dan Kota Puteri di Kuala Selangor, Taman Sains Selangor 2, Bernam Jaya dan Gombak.

Sebahagian lokasi tersebut sudah memulakan kerja-kerja pembinaan seperti di Bangi dan Taman Sains Selangor 2.

Ujar beliau kerajaan negeri masih mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dikira sesuai untuk kawasan perumahan,memandangkan ia mendapat permintaan yang tinggi oleh orang ramai.

Sebanyak 124 unit pangsapuri mampu milik berharga kurang RM100,000 akan dibina atas tapak seluas empat ekar yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Keutamaan untuk memiliki rumah ini akan diberikan kepada keluarga berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, ibu tunggal dan keluarga yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pangsapuri mampu milik antara pembaharuan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri secara berperingkat-peringkat.

Sehubungan itu Iskandar Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor yang turut menyampaikan satu kertas kerja di seminar tersebut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta di dalam usaha membina rumah mampu milik.