Wednesday, 29 February 2012

PANGSAPURI TAMAN CAHAYA DAPAT WAKAF

AMPANG, 28 FEBRUARI 2012 : Penduduk Pangsapuri Kos Rendah Taman Cahaya telah mendapat sebuah wakaf serbaguna untuk kegunaan mereka.

Wakaf tersebut 45 kaki panjang dan 18 kaki lebar telah dibina dengan kos RM36,500 dengan menggunakan peruntukan Ahli Dewan Negeri Chempaka, Iskandar Abdul Samad.

Wakaf itu dapat digunakan untuk pertemuan, mesyuarat, sukan, rekreasi dan aktiviti kemasyarakatan yang lain. Iskandar telah berjanji akan menyumbang sebuah meja ping pong untuk kegunaan penduduk di sana.

Beliau yang juga merupakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor berkata sumbangan ini adalah satu usaha untuk mempertingkatkan kemudahan di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

Wakaf ini adalah wakaf kedua yang dibina di kawasan Chempaka menggunakan peruntukan Iskandar. Sebelum ini sebuah wakaf telah dibina di Pangsapuri Kos Rendah Taman Dagang.