Sunday, 26 August 2012

KENYATAAN AKHBAR TENTANG AIR PERCUMA DI SELANGOR.

Migrasi adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Syabas.

Pada awalnya Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik barulah migrasi boleh dijalankan.

Tetapi setelah diadakan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Syabas, Syabas telah bersetuju agar peratus ini dikurangkan.

Dan ketika Syabas dipanggil ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) awal tahun ini, CEO Syabas, Datuk Lee Miang Koi berjanji kepada Menteri Besar untuk membenarkan 2 sistem di dalam sebuah pangsapuri. Satu sistem meter pukal dan satu sistem meter individu.

Ini bermakna bagi pemilik yg tidak memberi kerjasama untuk migrasi akan menggunakan meter pukal dan tidak akan mendapat air percuma 20 meter padu. Sementara mereka yang bekerjasama akan menggunakan meter individu dan akan mendapat air percuma.

Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan 2 program utk memudahkan penduduk di pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal mendapat air percuma.

Ianya adalah,

1.) Program Kupon Air
2.) Program Lapor Dan Dapat

Program Kupon Air ini terlalu rumit dan telah digantikan dengan Program Lapor Dan Dapat pada bulan Mac tahun ini.

Bagi Program Lapor Dan Dapat, penduduk melalui JMB atau MC perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan PBT akan memberitahu Syabas untuk memberi potongan pada bil meter pukal. JMB atau MC kemudian akan membuat potongan 20 meter padu pada bil-bil individu setiap kediaman.

Setelah dilaksanakan Program Lapor Dan Dapat, hanya 12 pangsapuri kos rendah yang belum mendapat air percuma 20 meter padu.

Selepas ini, Program Lapor Dan Dapat ini akan diperluaskan ke pangsapuri kos sederhana seperti Mentari Court yang menjadi tumpuan media sekarang.

Saya menasihatkan penduduk mendesak JMB dan MC mereka supaya mempercepatkan penyertaan mereka ke dalam Program Lapor Dan Dapat dengan mengisi borang yang khas yang disediakan. Ia hanya memerlukan seorang AJK JMB atau MC pergi ke pejabat PBT dan mengisi borang tersebut yang hanya mengambil masa 10 minit.

Dalam kes Mentari Court itu, proses migrasi adalah dalam peringkat akhir.

Sebarang ketidakpuasan hati perlulah ditujukan kepada Syabas.

Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Syabas agar proses migrasi ini dipercepatkan.

Sekiranya penstrukturan industri air dapat dilaksanakan dan pengagihan bekalan air adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri, proses migrasi ini boleh dipercepatkan.

Kerajaan Negeri buat masa ini tidak akan membayar tunggakan kepada mereka yang tidak mendapat air percuma. Perkara telah saya jelaskan semasa Sidang Dewan Negeri pada bulan Mac lepas.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
26 Ogos 2012