Monday, 19 November 2012

RM50 JUTA UNTUK RUMAH MAMPU MILIK DITUNGGU-TUNGGU OLEH RAKYAT BERPENDAPATAN SEDERHANA.

Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di dalam Ucapan Belajawan 2013 pagi tadi telah mengumumkan bahawa RM50 juta dari simpanan Kerajaan Negeri akan digunakan untuk membina Rumah Mampu Milik Pasang Siap.

Pengumuman ini sudah tentu akan dialu-alukan oleh rakyat Selangor yang berpendapatan sederhana terutamanya yang mengadapi masalah untuk memiliki rumah sendiri.

Sekiranya jumlah tersebut digunakan sebagai dana pusingan, adalah dianggarkan lebih dari 1,200 unit rumah akan dapat dibina dalam tempoh 5 tahun pertama.

Keputusan ini juga bermakna teknologi-teknologi baru untuk membina rumah mampu milik akan diterokai di mana hasilnya adalah rumah-rumah yang lebih berkualiti dan yang mampu dimiliki oleh lebih ramai rakyat Selangor.

Teknologi-teknologi ini juga akan dapat dimanfaatkan oleh industri perumahan agar masalah kos pembinaan yang tinggi dapat diatasi.

Oleh itu, sekali lagi Kerajaan Negeri Selangor telah membuktikan ia berada di hadapan di dalam usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat selain dari sentiasa prihatin akan keperluan mereka.

Pengumuman ini juga bermakna adalah tidak benar dakwaan bahawa Kerajaan Negeri gagal memanfaatkan rizab yang telah berjaya dikumpul.

ISKANDAR BIN ABDUL SAMAD
EXCO PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN DAN SETINGGAN
NEGERI SELANGOR
19 NOVEMBER 2012