Friday 7 June 2013

SASARAN 5 TAHUN DILANCAR - Sinar Harian 2 Mei 2013.


Sasaran lima tahun dilancar
Iskandar (dua, kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang media pelancaran Sasaran Lima Tahun Manifesto Dun Chempaka 2013 hingga 2018 di Pusat Tarbiyyah Pandan, semalam.
PANDAN INDAH - Penyandang kerusi Dun Chempaka, Iskandar Abdul Samad melancarkan Sasaran Lima Tahun Manifesto Dun Chempaka 2013 hingga 2018 yang akan dilaksanakan sekiranya beliau terus diberi mandat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Iskandar berkata, selain manifesto ditawarkan Pakatan Rakyat (PR) dan kerajaan negeri, manifesto berkenaan adalah khusus untuk pengundi dan penduduk kawasan Chempaka.

Beliau berkata, apa dibentangkannya itu bukan lagi di peringkat angan-angan, tetapi pihaknya sudah membuktikannya sebelum ini dan terdapat tambahan dan beberapa perkara baru yang terkandung dalam manifesto tersebut.

“Banyak sasaran atau rancangan sebelum ini berjaya kami laksanakan dalam tempoh pentadbiran selama lima tahun ini.

"Disebabkan permintaan yang sangat tinggi daripada masyarakat tempatan, maka ia perlu ditambah bagi mengimbangi keperluan tersebut,” katanya semasa sidang media pelancaran sasaran lima tahun Dun Chempaka di Pusat Tarbiyyah Pandan, semalam.

Dalam manifesto yang dilancarkannya itu, Iskandar menggariskan 12 sasaran antaranya mewujudkan sebuah lagi perpustakaan komuniti di Pandan Indah seperti di Pandan Jaya dan membina dataran anak muda di Taman Chempaka serta Taman Cahaya yang lengkap dengan gelanggang futsal dan sepak takraw.

Iskandar berkata, selain itu beliau mahu membina lima pondok polis di lokasi-lokasi kritikal untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan demi kepentingan rakyat.

“Seterusnya, kita juga ingin memulakan kajian pembangunan semula bagi menambah bilangan rumah mampu milik tanpa menyisihkan warga tempatan.

"Sasaran lain ialah melebarkan zon bersih ke seluruh kawasan Dun Chempaka dan mempertingkatkan aktiviti Pusat Wanita Berdaya yang sedia ada di Pandan Indah.

"Kita juga mahu mengembangkan program Prihatin Warga Emas di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan ke empat lokasi lain iaitu Kampung Baru Ampang, Pandan Indah, Pandan Jaya dan Taman Nirmana," katanya.

Beliau berkata, selain itu beliau menginginkan supaya sekurang-kurangnya 20 projek Ceria dilaksanakan bagi membaik pulih pangsapuri-pangsapuri di Pandan Indah, Pandan Jaya dan Taman Dagang dan pusat perniagaan makanan tradisional dan kraftangan diwujudkan di Kampung Pandan sebagai tarikan pelancong.

"Saya juga ingin mewujudkan tiga lokasi Kafa Menengah dan memberi peluang kepada pemilik rumah di Jalan Kemajuan menukar syarat kegunaan tanah dari kediaman kepada perniagaan.
"Sasaran terakhir ialah memusatkan warung-warung dan penjaja di satu lokasi khas,” katanya.

Iskandar berkata, beliau berkeyakinan tinggi untuk melaksanakan setiap sasaran dirancang kajian telah dilakukan dan dana serta peruntukan bakal digunakan sudah dikenal pasti.

“Selain itu, apa yang kami lakukan sepanjang lima tahun mentadbir terutamanya di negeri Selangor ini, itulah yang akan kami persembahkan kepada rakyat untuk dinilai dengan adil,” katanya.