Statistik terkini menunjukkan terdapat lebih 30,000 pendatang Rohingya di negara kita.
Mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak di dalam peringkat umur persekolahan.
Walau bagaimanapun kerana mereka berstatus pelarian, kanak-kanak tersebut tidak boleh memasuki sekolah-sekolah kerajaan.
Sudah tentu mereka juga tidak mampu memasuki sekolah-sekolah swasta.
Akhirnya mereka sama ada tidak bersekolah atau menerima pendidikan di sekolah-sekolah yang diwujudkan oleh komuniti mereka sendiri.
Tidak hairanlah jika sekolah-sekolah ini serba kekurangan.
Sebagai Ahli Dewan Negeri, saya sering menerima permohonan bantuan dari sekolah seperti itu di kawasan saya.
Kekurangan kelengkapan adalah satu masalah tetapi perkara yang lebih besar adalah kurikulum sekolah-sekolah tersebut.
Walaupun kanak-kanak ini bukan rakyat Malaysia tetapi mereka menetap di Malaysia dan menjadi sebahagian dari masyarakat tempatan.
Lebih-lebih lagi kita tidak tahu berapa lama mereka akan menetap di negara ini kerana penindasan ke atas umat Islam di Myanmar tidak kelihatan akan berakhir dalam masa yang terdekat.
Oleh itu, kanak-kanak Rohingya ini wajar diberi pendidikan yang membolehkan mereka menjadi sebahagian dari masyarakat tempatan.
Mereka juga mesti dididik akan nilai-nilai dan aspirasi rakyat negara ini agar mereka tidak akan menjadi satu masalah kepada negara kita.
Buat masa ini, kurikulum sekolah mereka berteraskan pendidikan bahasa mereka dan pengetahuan agama Islam.
Terdapat juga di antara kanak-kanak ini yang tidak bersekolah langsung atau hanya bersekolah beberapa tahun sahaja.
Masanya telah tiba bagi Kementerian Pendidikan memberi perhatian kepada kanak-kanak Rohingya ini.
Kerajaan Persekutuan tidak boleh lepas tangan kerana tahap pendidikan kanak-kanak ini akan memberi kesan kepada rakyat negara ini.
Kementerian perlu memantau dan mengawal kurikulum sekolah-sekolah ini.
Ia juga wajar menghulurkan bantuan.
Sekarang ini terdapat pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli-ahli Dewan Negeri yang memberi sumbangan.
Kanak-kanak ini tidak memilih untuk menjadi pelarian dan mereka tidak seharusnya dihukum sepanjang hayat mereka.
Y.B. TUAN ISKANDAR BIN ABDUL SAMAD
EXCO / Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor /
Negeri Selangor /
Ahli Dewan Negeri Chempaka
12 September 2013