Cabaran Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar agar Kerajaan Negeri Selangor membeli saham majoriti di dalam syarikat konsesi lebuh raya jika mahu membantah kenaikan tol menunjukkan beliau tidak prihatin kepada penderitaan rakyat.
Beliau tidak sepatutnya menempelak usaha Kerajaan Negeri untuk menghalang kenaikan ini tetapi sama-sama memikirkan cara-cara untuk memastikan kenaikan ini tidak berlaku.
Kenaikan tol ini sepatutnya dibantah oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana yang akan terbeban dengan kenaikan tersebut adalah seluruh rakyat Malaysia termasuk ahli-ahli UMNO.
Dengan kenaikan ini kos barangan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan lebuhraya sudah tentu akan meningkat. Contohnya kos barangan yang dihantar melalui lebuh raya sudah tentu akan naik dan ini bermakna kenaikan tol ini akan juga memberi kesan kepada rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya.
Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sebagai kerajaan negeri berkebajikan komited untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin. Ini terbukti dengan pelbagai program-program jangkapendek dan jangkapanjang untuk membantu rakyat.
Oleh yang demikian arahan Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim agar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghalang kenaikan tol bagi lebuhraya di mana ia mempunyai pegangan saham adalah konsisten dengan pendirian Kerajaan Negeri selama ini.
Walaupun jika Datuk Seri Noh hendak mempertahankan kenaikan ini sekurang-kurangnya beliau mencadangkan cara-cara bagaimana beban rakyat dapat dikurangkan.
UMNO sering mengajak PAS bermuzakarah demi kepentingan ummah secara khusus dan rakyat secara am tetapi sikap yang ditunjukkan oleh Pengerusi UMNO Selangor ini menunjukkan pemimpin-pemimpin UMNO hanya mementingkan keuntungan politik.
Sehubungan itu, saya berpandangan adalah lebih baik UMNO mencari pemimpin lain yang lebih prihatin kepada kebajikan rakyat untuk memimpin UMNO Selangor. Pada saya, terdapat pemimpin-pemimpin lain seperti YB Dato' Shamsuddin Lias, Ahli Dewan Negeri Sg Burung yang lebih layak memimpin UMNO Selangor.
Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
19 Disember 2013