Bulan lepas terdapat berita yang menggemparkan dari negara Belanda di mana kerajaan di sana bercadang menutup 19 buah penjara kerana bilangan banduan yang tidak mencukupi.
Menurut berita tersebut kadar jenayah di negara Eropah itu telah menurun dan terdapat 9,710 banduan berbanding dengan 9,914 pegawai penjara. Terdapat lebih ramai pegawai penjara dari banduan.
Ini berbeza dengan Amerika Syarikat di mana bilangan banduan adalah 5 kali ganda bilangan pegawai penjara. Saya telah cuba mencari maklumat yang sama bagi Malaysia tetapi masih belum berjumpa hingga ke saat ini.
Selain dari kadar jenayah yang berkurangan, negara Belanda telah memperkenalkan system “electronic tagging” di mana pesalah jenayah ringan dibenarkan pulang ke rumah dan bekerja seperti biasa tetapi setiap gerak-geri mereka dipantau.
Saya bukanlah pakar tentang negara Belanda. Ramai dari kita tidak mengetahui banyak perkara tentang negara itu. Yang kita tahu mereka adalah penjajah yang cukup kejam. Mereka adalah bangsa yang menipu sehingga ada peribahasa, “Seperti Belanda minta tanah”. Tetapi mereka juga pencipta “Total Football” dengan pemain-pemain seperti Johan Cruyff dan Johan Neesken yang hampir memenangi Piala Dunia dalam tahun 1974 dan 1978.
Saya juga tidak tahu sama ada negara itu benar-benar aman atau tidak kerana pernah hanya 2 kali sampai ke sana. Yang pertama dalam tahun 1981 ketika masih menuntut di UK. Amsterdam, bandaraya yang saya lawati tidaklah kelihatan bebas dari jenayah. Terdapat pengedar yang cuba menjual ganja kepada para pelancong secara terbuka.
Kali kedua adalah dalam tahun 2011 di mana saya telah singgah di Lapangan Terbang Schipol dalam perjalanan ke Helsinki, Finland.
Ketika kapal terbang hendak mendarat pada waktu subuh yang masih gelap, saya dapat melihat “rumah-rumah hijau” atau “greenhouse” yang diterangi oleh lampu-lampu di sekitar kawasan lapangan terbang
Ketika itu musim sejuk, di dalam “greenhouse” yang terang dan panas itu ditanam bunga, sayur dan buah-buahan. Para petani dapat mengawal cahaya, suhu dan bekalan air supaya mereka mendapat hasil-hasil pertanian sepanjang tahun.
Begitu berusahanya orang Belanda. Di Malaysia, kita mendapat bekalan air dan cahaya matahari yang mencukupi tetapi masih terdapat banyak tanah-tanah yang terbiar. Kita dianugerahkan dengan pelbagai nikmat tetapi tidak tahu menggunakannya.
Melihat usaha orang Belanda maka tidak hairan mereka dapat menjajah Indonesia yang berkali-kali ganda lebih luas dari negara mereka. Malah Belanda bukan sahaja negara yang kecil tetapi sebahagian dari negara itu adalah di bawah paras laut. Mereka terpaksa membina tembok-tembok di tepi laut untuk mengelakkan negara mereka dari ditenggelami air.
Kita mungkin pernah mendengar cerita rakyat negara itu tentang seorang kanak-kanak yang terjumpa dengan satu lubang pada salah satu tembok tersebut. Air laut sedang mengalir mencurah-curah dari lubang tersebut.
Budak itu perlu berbuat sesuatu. Untuk meminta tolong atau menyumbat lubang itu. Sekiranya beliau pergi mendapatkan pertolongan, lubang tersebut mungkin akan membesar dan terus membesar. Akhirnya tembok itu mungkin akan pecah dan tenggelamlah seluruh bandar.
Beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menyumbat lubang itu dengan ibu jari beliau sehingga ada orang yang tiba.
Kanak-kanak itu mungkin kesejukkan atau kelaparan tetapi sekiranya beliau tidak menyumbat lubang itu, kemungkinan besar bandar tersebut akan ditenggelami air dan ramai yang akan terkorban.
Menurut cerita, budak itu telah menyumbat lubang itu semalaman hingga ke esok pagi apabila apabila beliau dijumpai oleh penduduk bandar yang keluar mencari. Ketika itu beliau sedang kesejukan dan kelaparan.
Situasinya tidak ideal. Jika beliau seorang dewasa atau tidak kelaparan atau mempunyai baju yang lebih tebal, sudah tentu beliau dapat bermalam dengan lebih selesa. Tetapi situasi yang ideal tidak selalu akan wujud dalam kehidupan.
Ramai di antara kita yang mungkin akan berhadapan dengan situasi yang sama seperti kanak-kanak itu. Kita mungkin terpaksa memikul satu tanggungjawab walaupun kita bukanlah orang yang paling layak. Situasinya juga tidak ideal seperti situasi budak tersebut. Tetapi adakah kita akan lari dari tanggungjawab atau menerima cabaran seperti budak Belanda yang telah berjaya menyelamatkan sebuah bandar?
Saya kerap cuba memujuk ahli-ahli Cawangan untuk menghidupkan Cawangan mereka. Ada yang saya pujuk supaya menjadi pimpinan Cawangan atau sebagai aktivis Cawangan sahaja. Tetapi ada yang menolak permintaan itu dengan alasan-alasan kononnya mereka tidak layak, ada yang lebih layak atau mereka bukan Ustaz.
Walaupun Cawangan mereka akan mati atau terus lemah, mereka tidak peduli. Tidak ada semangat juang seperti kanak-kanak Belanda itu.
Saya kerap cuba memujuk ahli-ahli Cawangan untuk menghidupkan Cawangan mereka. Ada yang saya pujuk supaya menjadi pimpinan Cawangan atau sebagai aktivis Cawangan sahaja. Tetapi ada yang menolak permintaan itu dengan alasan-alasan kononnya mereka tidak layak, ada yang lebih layak atau mereka bukan Ustaz.
Walaupun Cawangan mereka akan mati atau terus lemah, mereka tidak peduli. Tidak ada semangat juang seperti kanak-kanak Belanda itu.
Tetapi adakah saya marah? Atau kecewa? Tentu sekali tidak. Cerita kanak-kanak itu berlaku di Belanda. Budak itu berbangsa Belanda. Satu bangsa yang telah menakluki lautan samudera untuk membuka tanah jajahan beribu-ribu batu dari kampung halaman mereka. Walhal mereka yang cuba saya pujuk itu adalah orang Melayu yang pernah dijajah lebih dari 500 tahun. Sudah tentu mentaliti dan semangat juang mereka adalah berbeza. Kecuali terdapat semangat ingin berubah.
Iskandar A Samad