Wednesday 25 July 2012

ISI BORANG UNTUK PENGURANGAN CUKAI TAKSIRAN 25 PERATUS.

SHAH ALAM, 25 JULAI 2012 : Pemilik pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor hanya perlu mengisi borang khas dan membawanya ketika membayar cukai bagi membolehkan mereka mendapat potongan 25 peratus cukai taksiran berkenaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata borang tersebut disediakan bagi memudahkan segala proses berkaitan dan mengesahkan bahawa mereka adalah pemilik serta mendiami sendiri kediaman mereka.

Menurutnya, borang khas yang telah lengkap diisi boleh disahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC), Ahli Majlis Perbadanan Pengurusan (MC), Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setempat.

"Mereka perlu mengemukakan dokumen yang sah di sisi undang-undang untuk mengesahkan bahawa mereka adalah pemilik atau waris yang sah. Pengurangan akan diberikan tanpa menunggu kesemua maklumat pembeli di sesebuah pangsapuri diperolehi.

"Mana-mana pemilik yang datang membuat pembayaran bersama borang khas yang telah disahkan akan mendapat pengurangan itu," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan SUK di sini hari ini.

Sebelum ini, Iskandar menjelaskan, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan satu mekanisme bagi pemilik pangsapuri kos rendah mendapat potongan 25 peratus untuk cukai taksiran.

Beliau berkata, kelayakan untuk mendapatkan pengurangan cukai taksiran tersebut adalah pemilik yang mendiami sendiri kediaman mereka atau yang didiami waris pemilik serta pemilik yang tidak mempunyai tunggakan. ( Hafizan Taib, Media SelangorKu )