Wednesday 24 October 2012

DAKWAAN TIDAK ADA RUMAH MAMPU MILIK DI SELANGOR : DONALD LIM PERLU LETAK JAWATAN.

Dato' Donald Lim, Timbalan Menteri Kewangan yang juga Pengerusi MCA Negeri Selangor telah mendakwa di Lobi Parlimen pada 22 Oktober lepas bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak membina Rumah Mampu Milik.

 

Selaku EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan saya berpandangan dakwaan beliau tidak berdasarkan fakta, tidak cermat, mengelirukan dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang Timbalan Menteri.

 

Rakyat sedia maklum akan projek-projek perumahan Rumah Mampu Milik yang dibina di Negeri Selangor sama ada oleh Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kerajaan Negeri atau pemaju-pemaju swasta.

 

Kerajaan Negeri sedia ada telah menggalakan pemaju-pemaju membina Rumah Mampu Milik di kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk dibina Rumah Kos Rendah atau di mana tidak ada permintaan untuk Rumah Kos Rendah.

 

Beberapa siri lawatan telah turut saya lakukan untuk projek-projek tersebut malah harga  jualan Rumah Mampu Milik di Selangor adalah di antara RM85,000 hingga RM150,000 iaitu jauh lebih rendah dari projek Rumah Mampu Milik Kerajaan Persekutuan, PRISMA yang dijual sehingga RM300,000.

 

Walau bagaimanapun saya hanya akan mengumumkan senarai projek-projek Rumah Mampu Milik yang sedang dibina dan yang telah diluluskan pada 1 November 2012 untuk memberi peluang kepada Dato' Donald untuk menarik balik dakwaan beliau.

 

Jika beliau gagal maka beliau tidak ada pilihan lain selain dari meletakkan jawatan.

 

Iskandar bin Abdul Samad

EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan

Negeri Selangor Darul Ehsan

24 Oktober 2012