Tuesday 8 January 2013

PUSAT KHIDMAT ADN CHEMPAKA BUKA BILIK GERAKAN AIR DAN SEDIAKAN PAM AIR UNTUK PENDUDUK.

Pusat Khidmat saya telah membuka sebuah bilik gerakan bagi berhadapan dengan kejadian bekalan air yang terputus di sekitar Ampang dan Cheras sejak 10 hari yang lalu.

Bilik gerakan tersebut terletak di Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya dan boleh dihubungi di talian 010 2637 662 ( En. Zahriezan ), 019 759 8622 ( Haji Suhaimi ) dan 013 246 9027 ( En. Hafiz ).

Petugas-petugas bilik gerakan itu akan sedaya upaya cuba membantu penduduk yang berhadapan dengan bekalan air yang tidak menentu iaitu sama ada tiada bekalan langsung atau tekanan air yang rendah.

Mereka juga akan berhubungan dengan Syabas agar Syabas memastikan kawasan-kawasan yang terlibat mendapat bekalan air sama ada melalui lori tangki air atau tangki air statitk.

Di dalam pertemuan di antara saya dan wakil-wakil Syabas pada 4 Januari lepas, saya telah menegaskan bahawa Syabas mesti membekalkan air yang secukupnya ke kawasan-kawasan yang terlibat. Mereka mesti memastikan tangki-tangki statik sentiasa diisi untuk digunakan penduduk.

MPAJ juga mempunyai lori-lori tangki air tetapi jumlahnya amat terhad.

Hadir pada pertemuan tersebut adalah Tuan Haji Yusof Saroji ( Pengarah Eksekutif Operasi Syabas ), Kelvin Siew ( Pengurus Besar Syabas ) dan ahli-ahli Majlis MPAJ bagi kawasan-kawasan terlibat.

Sebagai usaha tambahan Pusat Khidmat saya akan mendapatkan 10 pam air untuk membantu penduduk di pangsapuri-pangsapuri di mana tekanan air adalah rendah. Satu dari pam itu telah diuji di Pandan Jaya tengah hari tadi.

Mereka yang inginkan khidmat pam itu bolehlah menghubungi bilik gerakan.

Petugas-petugas dari Unit Amal Pandan juga telah dikerahkan untuk membantu warga emas dan mereka yang tidak berkemampuan untuk mengangkat air.

Sekiranya terdapat orang ramai yang ingin turut membantu bolehlah menghubungi bilik gerakan.

Walau bagaimanapun ingin saya menegaskan di sini bahawa Syabas adalah sebuah syarikat swasta dan bukan di bawah kawalan Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian Kerajaan Negeri tidak boleh secara lansung menentukan operasi syarikat tersebut. Ini adalah di antara sebab utama kenapa Kerajaan Negeri mahu menstrukturkan semula industri air di Selangor. Agar urusan membekalkan air kepada rakyat ditadbir sendiri oleh Kerajaan Negeri.


Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor /
Ahli Dewan Negeri Chempaka
8 Januari 2013

Foto-foto : Pam air sedang diuji di Pandan Jaya