Wednesday, 30 October 2013

300 BERPELUANG UNTUK MEMBELI RUMAH MAMPU MILIK "RUMAH SELANGORKU".

300 org pemohon akan dipilih untuk ditawarkan Rumah Mampu Milik "Rumah Selangorku" yang dibina oleh PKNS di Seksyen U12, Shah Alam dan PNSB di Sutera Damansara, Petaling Jaya.

PKNS sedang membina 104 unit pangsapuri dan PNSB sedang membina 236 unit pangsapuri. Rumah-rumah tersebut dijangka boleh diduduki pada akhir tahun 2016

Sebahagian dari unit-unit kediaman itu akan dibeli oleh Kerajaan Negeri untuk dijadikan rumah sewa kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah mereka sendiri.

Pemohon-pemohon yang berjaya adalah di antara 2,244 pemohon yang mengisi borang khas yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk membeli Rumah Mampu Milik.

Pemilihan dibuat menggunakan sistem merit. Setiap pemohon akan diberikan markah untuk kriteria-kriteria diri mereka.

Contohnya untuk bilangan anak atau tanggungan, lebih ramai anak atau tanggungan maka lebih tinggi markah yang akan diberi.

Di antara kriteria-kriteria lain yang dinilai adalah pendapatan isi rumah, lama tinggal di Negeri Selangor dan jarak tempat tinggal sekarang dari lokasi projek.

Pemohon-pemohon yg mendapat markah tertinggi akan ditawarkan untuk membeli rumah-rumah tersebut.

Pemilihan adalah semata-mata berdasarkan merit dan tidak langsung mengambil kira surat sokongan dari mana-mana pihak.

Pemohon-pemohon yang berjaya akan diberitahu melalui surat pada bulan Disember ini. Nama-nama mereka itu juga akan dipamerkan di laman web LPHS untuk 2 minggu.

Kedua-dua projek ini adalah di antara 35,000 Rumah Mampu Milik yang akan bina di Selangor menjelang 2018.

Mereka yang berminat untuk membeli rumah-rumah tersebut boleh memuat turun borang permohonan daripada laman web LPHS mulai bulan Disember ini.

Projek Rumah Mampu Milik pertama PKNS adalah di Bandar Baru Bangi dengan 124 unit kediaman dan akan mula diduduki tahun hadapan.

Iskandar A Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
30 Oktober 2013