Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor & Ahli Dewan Negeri Chempaka (N21)
Wednesday, 16 October 2013
KEMPEN TERBUKA ADIL UNTUK SEMUA
Mungkin PAS juga perlu mencontohi UMNO di dalam pemilihan jawatan-jawatan di dalam parti. Iaitu dibenarkan berkempen secara terbuka.
Kita perlu mengakui bahawa terdapat kempen-kempen dijalankan. Lebih baik kempen-kempen ini dikawal dan dipantau dari ia dibiarkan berjalan tanpa kawalan dan pemantauan.
Jangan pula kita cuba menutup mata kepada realiti kerana kempen juga berlaku untuk pemilihan jawatan-jawatan di peringkat akar umbi. Ini tidak menghairankan kerana yang menang berpeluang menjadi calon PRU, ahli Majlis atau Ketua Kampung.
Jangan juga menjadikan berlumba-lumba membuat kebajikan sebagai alasan kerana amalan tidak bertegur sapa dan boikot memboikot telah berlaku akibat daripada perebutan jawatan.
Sebelum PRU13 ada yang menghantar wakil berjumpa saya mendesak saya menandatangani surat kepada pimpinan menyokong beliau menjadi calon. Saya enggan dan hingga ke hari ini hubungan saya dengan mereka tidak baik.
Oleh itu, lebih baik kempen ini dilakukan secara terbuka kerana kempen secara senyap lebih bahaya dari kempen secara terbuka. Sekurang-kurangnya di dalam kempen terbuka, seorang calon boleh menjawab segala tuduhan atau dakwaan terhadap beliau. Walaupun jika beliau tidak berminat akan jawatan yang dipertandingkan tetapi beliau perlu diberi peluang untuk menjawab.
Dengan kempen terbuka ia juga membuat setiap calon dan penyokong mereka lebih bertanggungjawab maka tidak akan berlaku kes-kes melempar batu sembunyi tangan.
Adakan juga sesi khas untuk calon-calon berkempen atau memperkenalkan diri agar program dan jentera parti tidak disalahguna untuk tujuan tersebut.