Thursday, 3 July 2014

DARI CORETAN YDP SIRI 59 : SEBUAH BASIKAL CHOPPER.

Saya masih ingat ketika Darjah 5 di mana saya teringin sangat hendak memiliki sebuah basikal berjenama "Chopper”. Ketika itu ramai rakan-rakan di Seksyen 14, Petaling Jaya atau di Sekolah Sri Petaling, Petaling Jaya memiliki basikal tersebut.

Walau bagaimanapun hajat saya tidak kesampaian kerana saya tidak dibelikan basikal "Chopper" tetapi basikal yang seperti "Chopper". Walaupun bentuknya seperti "Chopper" tetapi ia tetap bukan "Chopper". Saya tidak ingat apakah jenamanya, mungkin  "Dragon" atau "Crane".

Saya tidak faham kenapa ibu bapa saya tidak membeli jenama "Chopper". Ia hanya beberapa puluh ringgit lebih mahal dari jenama yang ibubapa saya belikan. Ibubapa saya boleh membeli barang yang lebih mahal dari basikal tersebut tetapi tidak mahu membeli basikal "Chopper" saya.

Selama beberapa tahun saya tertanya-tanya kenapa saya tidak dibelikan basikal berjenama tersebut. Saya hanyalah faham setelah saya mempunyai sumber pendapatan sendiri dan menguruskan kewangan saya sendiri.

Barulah saya tahu betapa penting setiap ringgit dan setiap sen. Ada perkara yang terpaksa didahulukan dan ada yang terpaksa ditangguhkan. Harga bukanlah pemutus sesuatu keputusan tetapi keperluan itu lebih penting.

Saya pelajari realiti ini pada tahun pertama saya di UK untuk menduduki peperiksaan A-Levels. Surat dari bank yang memaklumkan bahawa akaun saya telah "OD" atau "Overdraft" amat mengejutkan saya. Saya telah mengeluarkan duit melebihi duit yang ada di dalam akaun saya.

Kita hanya akan memahami bagaimana hendak menguruskan duit sekiranya kita pernah menguruskan duit. Begitu juga dengan duit kerajaan. Selagi kita tidak pernah menguruskannya, kita tidak akan memahami. 

Ketika sebelum menjadi kerajaan, kita merasakan kerajaan mempunyai begitu banyak duit. Tetapi apabila kita menjadi kerajaan barulah kita tahu bahawa kita hanya boleh berbelanja menurut had-had yang ditetapkan oleh bajet-bajet yang diluluskan.

Ada bajet kerajaan negeri, ada bajet Exco, ada bajet jabatan, ada bajet Pihak Berkuasa Tempatan, ada bajet ahli Majlis malah JKKK pun patut ada bajetnya sendiri.

Contohnya bagi potfolio saya, pasukan saya dan jabatan yang terlibat akan merancang beberapa bulan sebelum belanjawan dibentang di Dewan Negeri. (Selangor mengekalkan istilah belanjawan dan tidak menggunakan istilah bajet) Projek-projek dan program-program dirancang untuk satu tahun. Exco-Exco terpaksa "bersaing" untuk mendapatkan dana. Pendapatan Selangor kurang dari RM2 bilion setahun maka berebutlah Exco-Exco dan jabatan-jabatan.

Walau bagaimanapun jika terdapat program-program baru setelah belanjawan diluluskan maka pasukan Exco atau jabatan beliau perlulah bijak mengenalpasti sumber-sumber peruntukan yang boleh digunakan. Kadang-kala jika peruntukan itu telah digunakan oleh Exco atau jabatan yang lain maka terpaksalah menunggu sehingga belanjawan akan datang. Inilah realiti berkerajaan. Tidak ada duit yang bergunung-gunung yang boleh dibelanjakan sesuka-hati. Ada perancangan dan ada disiplin. 

Memang susah hendak memberi kefahaman kepada rakyat kecuali rakyat itu sendiri terlibat di dalam pengurusan kewangan. Contohnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menetapkan bajet atau peruntukan untuk membaikpulih jalan. Apa akan jadi jika peruntukan ini habis dibelanjakan pada pertengahan tahun? Rakyat akan tetap menuntut jalan-jalan dibaikpulih.

Oleh yang demikian, adakah PBT itu akan memberitahu rakyat bahawa peruntukan tahun ini telah habis dan rakyat perlu bersabar sehingga tahun hadapan? Atau meminjam dari bank? Atau meminjam dari kerajaan negeri? Atau memindahkan dana dari peruntukan-peruntukan lain yang kurang kritikal? Ataupun menggunakan rizab PBT?

Tetapi bukan semua PBT memiliki rizab. Ada PBT yang terpaksa memohon bantuan dari kerajaan negeri untuk membayar gaji kakitangan. Ini berlaku bukan kerana tidak pandai mengurus tetapi oleh kerana hasil PBT terlalu rendah.

Tetapi ada juga PBT yang mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi seperti dari cukai pintu, cukai ini dan cukai itu, fi ini dan fi itu, tetapi terdapat mereka yang enggan membayarnya. Maka akhirnya rakyat akan dinafikan perkhidmatan yang mereka patut terima kerana pendapatan PBT telah berkurangan.

Pusat Khidmat Ahli-Ahli Dewan Negeri juga mempunyai bajet atau perancangan perbelanjaannya tersendiri. Perbelanjaan peruntukan dari kerajaan negeri dirancang untuk 1 tahun. Kita telah masuk penggal kedua, semua Pusat Khidmat sepatutnya ada bajet mereka.

Di Chempaka, bajet ini menyenaraikan kesemua perbelanjaan untuk 1 tahun. Setiap program, sumbangan, projek-projek infrastruktur dan perbelanjaan-perbelanjaan lain akan disenaraikan.

Had perbelanjaan untuk program-program besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Korban, Tahun Baru Cina, sumbangan perayaan masyarakat India dan perayaan-perayaan lain, sumbangan persekolahan "Back To School", majlis meraikan jemaah Haji, sambutan Hari Kemerdekaan, Karnival Rakyat, Sukan Rakyat, Forum Perdana, sambutan Hari Guru dan banyak lagi ditetapkan untuk 1 tahun.

Selain dari itu terdapat program-program kemasyarakatan di mana masjid, surau, persatuan penduduk atau NGO-NGO boleh memohon untuk menganjurkannya. Sejumlah peruntukan ditetapkan setiap tahun tetapi ianya berdasarkan "siapa cepat dia dapat".

Sumbangan khusus contohnya kepada masjid-masjid dan surau-surau sempena Ramadhan, sekolah-sekolah, institusi-institusi pelbagai kaum dan NGO-NGO juga ditetapkan lebih awal.

Sumbangan-sumbangan kepada individu pula ditetapkan jumlahnya bagi setiap bulan. Jumlah yang boleh dihulurkan setiap bulan ditetapkan hadnya. Kelulusan adalah  berdasarkan keperluan atau "siapa cepat dia dapat". Sekiranya peruntukan untuk sesuatu bulan itu telah kehabisan walhal masih terdapat lagi pemohon yang layak maka peruntukan akan diambil dari bajet bulan hadapan. Tetapi peruntukan untuk bulan hadapan akan berkurangan

Sementara projek-projek infrastruktur, penyediaan kemudahan awam, sumbangan perlatan atau membaikpulih itu dan ini selalunya melalui peruntukan kerajaan negeri seperti program CERIA, Pejabat Daerah, MAIS, JAIS atau Lembaga Zakat jika kosnya terlalu tinggi. Pusat Khidmat juga ada menyediakan bajet tetapi amatlah terhad.

Oleh itu, semua perbelanjaan dirancang. Ia melibatkan pelbagai perkara. Tidak ada duit yang bergunung-gunung yang boleh dibelanjakan tanpa had. Maka janganlah pula ada yang menjadi seperti budak Darjah 5 yang tidak memahami kenapa tidak dibelikan basikal “Chopper”.

SELAMAT BERJUANG

Iskandar Abdul Samad
Yang Dipertua PAS
Kawasan Pandan
Tel : 03 9283 3835
Emel : isksmd@gmail.com
Blog : iskandar56100.blogspot.com
6 Syaaban 1435 / 4 Jun 2014