Thursday, 3 July 2014

DARI CORETAN YDP Siri 60 : CAMEROON OH CAMEROON....

Ketika coretan ini ditulis 3 negara telah disahkan akan pulang awal dari kejohanan Piala Dunia yang sedang berlangsung di Brazil kerana telah kalah 2 perlawanan. Negara-negara itu adalah pemenang kejohanan yang lepas, Sepanyol, Cameroon dan Australia.

Mungkin ramai yang terkejut akan nasib yang menimpa Sepanyol dan ramai juga yang mengandaikan pemain-pemain negara itu telah menjual perlawanan mereka. Kalau benar, memang hebat bookie-bookie yang terlibat. Mungkin dari Malaysia agaknya.

Walau bagaimanapun, pada saya iktibar yang patut kita ambil adalah nasib yang menimpa Cameroon. Tentang Australia, tidak ramai yang menjangkakan mereka boleh pergi jauh walaupun negara itu mempunyai ramai pemain yang beraksi di Eropah. Terdapat kisah yang tersendiri bagi Cameroon yang boleh menjadi pengajaran kepada kita semua.

Cameroon pertama kali menyertai Piala Dunia dalam tahun 1982 di Sepanyol. Mereka tidak pernah kalah pada kejohanan tersebut. Mereka seri 3 kali tetapi telah tersingkir.

Pada edisi 1990 mereka telah mengejutkan dunia. Dalam perlawanan pembukaan mereka mengalahkan juara bertahan Argentina. Mereka mara sehingga ke suku akhir dan pemain-pemain khususnya Roger Milla menjadi idola peminat-peminat bolasepak.

Selepas itu negara-negara Afrika tidak lagi dipandang rendah di pentas dunia. Nigeria, Senegal, Ivory Coast dan Ghana telah memberi cabaran kepada negara-negara Eropah dan Amerika Latin. Malah legenda bolasepak Brazil, Pele pernah membuat ramalan bahawa sebuah negara Afrika akan menjadi juara Piala Dunia. Tetapi ini belum berlaku walaupun bintang-bintang Afrika telah berjaya menempah nama di liga-liga utama di Eropah. Mungkin kisah di sebalik kegagalan pasukan Cameroon tahun ini boleh menjadi petunjuk.

Persediaan Cameroon ke Piala Dunia tahun ini diselubungi kontroversi. Berlaku pertelingkahan di antara pemain-pemain dan persekutuan bolasepak negara itu. Punca pertelingkahan tersebut adalah mungkin punca pertelingkahan yang berlaku di dalam hampir 90 peratus pertelingkahan di atas muka bumi ini. Duit, wang, benda, harta dan perkara-perkara yang sejenis dengannya.

Di dalam kes Cameroon, pembayaran kepada pemain-pemain untuk beraksi di Brazil menjadi punca pertelingkahan tersebut. Keadaan menjadi begitu parah apabila selepas perlawanan akhir sebelum ke Brazil, pemain-pemain enggan menerima bendera negara mereka daripada Presiden Cameroon. Mereka berkampung di dalam bilik persalinan stadium maka terpaksalah jurulatih pasukan bolasepak negara itu yang berbangsa Jerman menerima bendera tersebut.

Penyerahan bendera sebelum mana-mana pasukan ke kejohanan sukan yang besar dianggap sebagai satu majlis simbolik yang penting di seluruh dunia. Bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi di peringkat negeri juga ia berlaku.

Sebelum pasukan SUKMA Negeri Selangor berlepas ke Perlis tahun ini, Menteri Besar Selangor telah menyerahkan bendera kepada ketua kontinjen. Bayangkan apa akan terjadi jika ketua kontinjen bersama-sama atlet-atlet enggan menghadiri majlis penyerahan bendera oleh Menteri Besar? Perkara yang seperti ini telah berlaku di Cameroon.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila pasukan itu tersingkir dari kejohanan bolasepak berprestij tersebut. Habuan kewangan telah diletakkan lebih tinggi dari maruah negara. Pasukan-pasukan lain bermain bermati-matian untuk menaikkan nama negara mereka tetapi nampaknya pemain-pemain Cameroon itu bermain untuk mendapatkan bonus walaupun ramai dari mereka menerima gaji yang tinggi bermain di liga-liga utama di Eropah.

Apabila mereka enggan menerima bendera itu, mereka telah gagal menghormati bukan sahaja Presiden tersebut tetapi negara mereka dan seluruh rakyat Cameroon. Tindakan mereka ini telah dikecam oleh akhbar-akhbar republic Afrika itu. Tetapi apakah pengajaran dari keangkuhan ini?

Pengajaran pertama adalah kepentingan diri perlu diketepikan demi kepentingan ramai. Matlamat ramai itu lebih penting dari matlamat individu. Sama ada di dalam sebuah negara ataupun sebuah organisasi,  matlamat atau kepentingan ramai itu perlu diutamakan.

Nasib yang menimpa Cameroon mungkin telah berlaku apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan ramai. Saya tidak mengatakan bahawa pemain-pemain Cameroon telah menjual perlawanan kerana tidak mendapat bonus yang diinginkan. Tetapi suasana yang tidak harmoni itu telah membuka ruang kepada pelbagai spekulasi.

Di dalam dunia ini memang terdapat ramai yang sanggup melihat matlamat yang lebih besar gagal semata-mata kerana mereka gagal mencapai matlamat peribadi mereka.

Contoh di dalam politik, oleh kerana tidak mendapat projek atau peruntukan dari kerajaan negeri mungkin ada yang mendoakan Pakatan Rakyat kalah di Selangor.

Janganlah juga kita merasakan diri kita lebih besar dari apa saja organisasi yang kita anggotai.

Apa yang berlaku kepada Cameroon bukanlah kali pertama di dalam pentas Piala Dunia. Pertelingkahan di antara pemain dan persekutuan bolasepak mereka pernah berlaku sebelum ini. Inilah akibatnya apabila terdapat pemain-pemain yang merasakan diri mereka lebih besar dari negara mereka.

Pada edisi 1974 di Jerman dan 1978 di Argentina, pemain-pemain Belanda memakai 2 jenis jersi. Walaupun jersi mereka masih berwarna oren tetapi ada yang mempunyai 3 jalur dan ada yang mempunyai 2 jalur. Mungkin ini kali pertama sebuah pasukan memakai 2 jenis jersi di dalam satu perlawanan.

Inilah gara-gara untuk memuaskan hati pemain-pemain yang ditaja oleh syarikat yang berbeza. Ada yang ditaja oleh Adidas dan yang ditaja oleh Puma. Ada yang mengugut untuk tidak bermain jika tidak dapat memakai jenama jersi pilihan mereka.

Pada Kejohanan Eropah di Belgium tahun 1980 pula persekutuan bolasepak negara itu hanya menyediakan satu jenis jersi iaitu jersi Adidas dengan 3 jalur. Tetapi terdapat memain yang memprotes dengan menutup lambang Adidas pada baju mereka dengan pita plastik.

Generasi pemain-pemain Belanda ketika itu dikatakan yang terbaik pernah dihasilkan dengan legenda-legenda seperti Johan Cruyff, Johan Neesken dan Johnny Rep. Tetapi mereka gagal meraih sebarang kejuaraan walaupun telah memasuki perlawanan akhir di Jerman dan Argentina. Mungkin sikap pemain-pemain adalah penyebabnya.

Begitulah juga sebuah organisasi. Mungkin terdapat individu-individu yang hebat tetapi tanpa sikap yang betul tidak akan tercapai matlamat.

SELAMAT BERJUANG

Iskandar Abdul Samad
Yang Dipertua PAS
Kawasan Pandan
Tel : 03 9283 3835
Emel : isksmd@gmail.com
Blog : iskandar56100.blogspot.com