Saturday, 26 May 2012

EXCO DAKWA PIHAK TERTENTU DALANGI PENGUNDI HANTU.

Post Pic

AMPANG: Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad mendakwa badan tertentu yang mendapat bantuan daripada pihak atasan mendalangi kegiatan 'pengundi hantu' di Kampung Pandan, Ampang.

"Perkara ini tidak mungkin dilakukan oleh individu dan juga mungkin dilakukan oleh satu badan yang tertentu dan saya tidak tahu siapa tetapi dalam keadaan pindahan yang terancang ini sudah tentu memerlukan pertolongan di peringkat atas," katanya ketika sidang media di pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya petang tadi.

Beliau yang juga ADUN Cempaka mendakwa perbuatan berkenaan bertujuan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor pada pilihan raya umum kali ini.

"Kita melihat bahawa mereka yang melakukan perkara ini mungkin berpandangan bahawa ini cara untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor."

Beliau juga membuat kesimpulan awal bahawa terdapat 'tangan-tangan yang tersembunyi' iaitu kuasa yang lebih tinggi yang melakukannya.

"Saya rasa ini terdapat 'tangan-tangan yang tersembunyi iaitu kuasa yang lebih tinggi yang melakukannya dan tanpa pihak berkuasa perkara ini tidak mungkin dapat dilakukan," katanya.

Dakwanya, apa yang lebih mencurigakan adalah pertambahan pendaftaran pengundi ini berlaku selepas tahun 2008.

"Dalam kajian yang dilakukan pejabat saya mendapati bahawa berlakunya pertambahan yang mendadak di alama-alamat yang tertentu," katanya.

Menurut beliau, setelah meninjau dari rumah ke rumah, penduduk sekitar Kampung Pandan Indah mendakwa mereka tidak mengenali nama pengundi yang didaftarkan atas alamat rumah mereka.

Sehubungan itu, Iskandar meminta kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menjalankan penyiasatan.

"Saya berharap agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menjalankan siasatan dan bertindak sewajarnya berhubung dengan perkara ini," katanya - ANTARAPOS.COM