Tuesday, 15 May 2012

SYABAS DIGESA SAMBUNG BEKALAN AIR DI TAMAN PANDAN UTAMA 2.

SHAH ALAM, 12 MEI 2012 : Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) digesa agar menyambung semula bekalan air dengan segera di Taman Pandan Utama 2 kerana tindakan itu menyusahkan penduduk, tegas  Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad.

"Syabas tidak sepatutnya memperalatkan mereka (penduduk) untuk memberi tekanan ke atas pemaju," kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Jelas  Iskandar, Syabas memotong bekalan air ke rumah-rumah kedai di Taman Pandan Utama 2 pada 8 Mei yang  lalu.

Ia disebabkan pemaju taman tersebut masih belum lagi membina tangki air utama untuk taman itu. Sebagai jaminan pemaju akan membina tangki air itu, Syabas menetapkan pemaju perlu menyediakan Bank Guarantee(jaminan bank) bernilai RM1.7 juta.

"Dengan itu, penduduk taman tersebut boleh mendapat bekalan air terus dari Syabas dan Pemaju pula perlu membina tangki air utama itu dalam masa setahun.

Tambah Iskandar, walaubagaimanapun pemaju gagal menyediakan Bank Guarantee itu dalam masa yang ditetapkan. Maka Syabas telah memotong bekalan air ke taman itu.

"Dalam hal ini, penduduk tidak bersalah. Menurut mereka (penduduk), bil-bil air telah mereka bayar. Syabas telah menghukum penduduk di atas kesalahan pemaju.

"Syabas sepatutnya mengambil tindakan ke atas pemaju seperti mengheret mereka (pemaju) ke mahkamah," kata Iskandar.

Menurut Iskandar, bekalan air tidak perlu dipotong kerana penduduk tetap akan membayar air yang mereka gunakan.

"Saya menggesa Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera dan berhenti menyiksa orang tua, orang sakit dan kanak-kanak di taman itu. Syabas tidak sepatutnya memperalatkan mereka untuk memberi tekanan ke atas pemaju," ujarnya - Mohd. Ezli Mazhut, Media Selangorku.