Syabas telah memotong bekalan air ke rumah-rumah kedai di Taman Pandan Utama 2 pada 8 Mei yang baru lalu.
Pemaju taman itu belum lagi membina tangki air utama untuk taman tersebut.
Sebagai jaminan pemaju akan membina tangki air itu, Syabas telah menetapkan pemaju perlu menyediakan Bank Guarantee bernilai RM1.7 juta.
Dengan itu, penduduk taman tersebut boleh mendapat bekalan air terus dari Syabas.
Pemaju pula perlu membina tangki air utama itu dalam masa 1 tahun.
Walau bagaimanapun pemaju telah gagal menyediakan Bank Guarantee itu dalam masa yang ditetapkan.
Maka Syabas telah memotong bekalan air ke taman itu.
Dalam hal ini, penduduk tidak bersalah. Menurut mereka, bil-bil air telah mereka bayar.
Syabas telah menghukum penduduk di atas kesalahan pemaju.
Syabas sepatutnya mengambil tindakan ke atas pemaju seperti mengheret mereka ke mahkamah
Bekalan air tidak perlu dipotong kerana penduduk tetap akan membayar air yang mereka gunakan.
Saya menggesa Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera dan berhenti menyiksa orang tua, orang sakit dan kanak-kanak di taman itu.
Syabas tidak sepatutnya memperalatkan mereka untuk memberi tekanan ke atas pemaju.
Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor /
ADN Chempaka
11 Mei 2012.