Thursday, 20 March 2014

BUKIT BOTAK : DULU TIDAK YAKIN, HARI INI MENJADI REBUTAN.

Pada mesyuarat JK Tetap Perumahan minggu lepas isu Bukit Botak telah dibincang secara panjang lebar.

Alhamdulillah isu peneroka bandar di situ telah hampir selesai. Lebih 1,400 buah rumah berkembar (semi detached) telah siap dibina dan boleh diduduki.

Pada awalnya ramai tidak yakin dengan penyelesaian Kerajaan Negeri Selangor. Ramai yang marah kerana Kerajaan Negeri hendak menjual rumah kepada peneroka dengan harga RM99,000. Tetapi hari ini tidak ramai yang marah lagi kerana harga di pasaran rumah-rumah tersebut adalah melebihi RM300,000.

Hari ini ramai yang hendak memiliki rumah di Bukit Botak. Apabila PKNS membuka untuk jualan baki rumah-rumah di sana, lebih kurang 200 buah, ribuan telah memohon. Sekarang ini telah menimbulkan masalah yang lain.

PKNS telah dituduh tidak adil di dalam mengendalikan penjualan baki rumah-rumah itu seolah-olah adalah menjadi hak mereka yang menuduh untuk membeli rumah-rumah tersebut. Tidaklah diketahui dari mana mereka mendapat idea itu.

Sebenarnya PKNS tidak boleh menjual kesemua baki-baki rumah tersebut. Pejabat saya telah menerima rayuan untuk membeli rumah dengan harga peneroka bandar iaitu RM99,000 kerana mendakwa mereka pernah tinggal di Bukit Botak.

Maka PKNS perlu menyimpan sejumlah dari baki rumah sekiranya terdapat mereka yang merayu layak. Walau bagaimanapun ingin ditegaskan di sini bahawa satu tempoh rayuan dan siasatan telah diperuntukkan pada tahun 2010. Tetapi mungkin ketika itu ramai yang belum lagi yakin projek itu boleh dipulihkan kerana masalah Bukit Botak ini telah lebih 20 tahun membelenggu rakyat. Hanya setelah rumah-rumah siap dibina ramai yang nampak keupayaan Kerajaan Negeri dan telah mula tampil ke hadapan.

Sekiranya terdapat peneroka-peneroka yang layak maka mereka wajar mendapat tawaran membeli rumah dengan harga istimewa. Kerajaan Negeri sedang menjalankan satu siasatan dan penilaian yang terperinci dan tidak akan membenarkan sesiapa mengambil kesempatan.

Walau bagiamanapun PKNS perlu menjual baki rumah-rumah setelah mengambil kira rayuan-rayuan yang berjaya kerana PKNS telah mengalami kerugian lebih RM80 juta untuk menyelesaikan masalah Bukit Botak. Mereka memerlukan pulangan dari jualan tersebut untuk mengurangkan kerugian itu.

Walau bagaimanapun jualan adalah berdasar "siapa cepat dia dapat" dan terdapat juga kuota untuk kakitangan kerajaan. Perlu ada kuota untuk mereka sebagai satu usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan di kalangan kakitangan.

Ada juga yang marah kepada saya kerana saya tidak mahu membantu mereka "jump queue" atau melompat "queue". Mereka mendakwa mereka yang paling layak membeli rumah itu. Tidak pula diketahui juga siapa yang mengurniakan mereka hak membeli rumah di Bukit Botak lebih dari ribuan orang lain yang juga mengharap. 

Sebagai Exco saya perlu berlaku adil kepada semua. Tetapi fokus Kerajaan Negeri sekarang adalah untuk menyelesaikan masalah para peneroka yang masih gagal mendapat pinjaman perumahan. Mereka telah menunggu lebih 20 tahun oleh yang demikian perhatian perlu diberikan kepada mereka.