Thursday 13 March 2014

PAS SELANGOR TAWARKAN SIJIL PENTADBIRAN ORGANISASI.

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor akan menganjurkan kursus separuh masa yang akan menawarkan Sijil Pentadbiran Dan Pengurusan Organisasi.

Kursus ini adalah khusus untuk pentadbir dan pengurus di dalam PAS seperti Setiausaha-Setiausaha di semua peringkat, Penolong-Penolong Setiausaha di semua peringkat dan Setiausaha-Setiausaha Kerja.

Keputusan telah dibuat untuk menganjurkan kursus ini memandangkan cabaran-cabaan baru yang timbul akibat dari perkembangan-perkembangan berikut :

1. Kadar penambahan ahli dan penambahan cawangan yang sentiasa meningkat akibat dari minat yang tinggi terhadap PAS daripada rakyat.

2. Tanggungjawab dan beban tugas yang semakin bertambah selari dengan kedudukan sebagai parti pemerintah di mana pimpinan dan petugas Parti terpaksa juga menjalankan tugas-tugas pentadbiran kerajaan seperti menerima aduan dan menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

3. Harapan dari ahli-ahli yang tinggi akibat dari komposisi ahli yang telah berubah di mana mereka menuntut perkhidmatan dan pentadbiran yang lebih cekap, efisien dan profesional.

Adalah diharapkan kursus ini akan dapat menghasilkan kumpulan pentadbir dan pengurus Parti yang lebih cekap, profesional dan berpengetahuan.

Peserta kursus ini akan melalui 8 siri kuliah dan setiap kuliah adalah selama 3 jam termasuk kerja kursus.

Kuliah-kuliah akan diadakan di Bangunan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Presint Alami, Shah Alam.

Penilaian adalah berdasarkan kehadiran di kuliah-kuliah dan kerja kursus (assignment) bagi setiap modul. Peserta-peserta melepasi markah yang ditetapkan akan dianugerahkan sijil ini.

Modul-modul untuk sijil tersebut adalah terdiri dari,

1. Struktur Dan Pentadbiran Organisasi Di Dalam PAS
2. Pengurusan Dan Pentadbiran Organisasi
3. Nilai-Nilai Pentadbiran Islam
4. Sistem Kerajaan Di Malaysia
5. Perhubungan Awam
6. Pengurusan Konflik
7. Pengurusan Sumber Manusia
8. Pengurusan Kewangan

Tenaga-tenaga pengajar kursus ini adalah daripada IPTA, IPTS, badan profesional dan individu-individu berpengalaman yang lain.

Untuk siri pertama seramai 30 orang peserta akan diterima untuk mengikuti kursus ini. Seramai 25 orang dikhususkan untuk ahli-ahli PAS Selangor sementara yang selebihnya adalah terbuka kepada ahli-ahli dari luar Selangor.

Kuliah-kuliah untuk siri pertama kursus ini akan diadakan sepanjang bulan Mei dan Jun tahun ini.

Kursus akan kendalikan oleh Lajnah Pendidikan Dan Pembangunan Ahli PAS Negeri Selangor pimpinan YB Dr Hjh Halimah Hj Ali yang juga merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
14 Mac 2014