Oleh Afeeqa Afeera
SHAH ALAM, 12 JANUARI 2012 : Kerajaan Selangor akan menyiarkan satu garis panduan berhubung yuran penyelenggaraan yang sepatutnya dikenakan pemaju ke atas setiap penghuni pangsapuri di negeri ini.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, ini kerana kerajaan negeri banyak menerima aduan daripada penduduk tentang yuran kos penyelenggaraan yang dikenakan terlalu tinggi oleh pemaju dan pihak pengurusan.
Katanya, kadar bayaran atau caj yang sesuai untuk dikenakan kepada penghuni-penghuni pangsapuri berkenaan akan dikaji semula, namun ia tertakluk kepada beberapa syarat atau faktor yang ditetapkan.
"Antara faktor-faktornya adalah seperti kemudahan yang ada atau jumlah unit rumah yang ada di kawasan tersebut. Sekiranya, unit rumah di kawasan itu adalah sedikit, maka caj penyelenggaraan yang dikenakan mungkin lebih tinggi berbanding unit rumah yang lebih banyak," ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyarankan penduduk yang tidak berpuas hati tentang yuran penyelenggaraan untuk segera berjumpa dengan pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
Menurutnya, ia adalah pendekatan terbaik yang boleh digunakan untuk membolehkan kerajaan negeri mengira semula jumlah atau kos yang sepatutnya perlu dibayar oleh penghuni pangsapuri tersebut.
"Saya berharap dengan usaha yang dijalankan kerajaan negeri ini, kita akan dapat mengurangkan kes-kes di mana mereka yang duduk di rumah pangsa merasa tertipu mahupun terdapat juga pemaju yang tidak tahu nilai sebenar yang perlu dikenakan kepada penduduk," katanya.