LEMBAH JAYA, 30 Januari 2012 - Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.7 juta bagi Program Ceria untuk baik pulih pangsapuri kos rendah dan sederhana di seluruh Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan negeri, Ir Iskandar Abdul Samad berkata, bagi fasa pertama sejak program dilancarkan, sebanyak 10 kemajuan atau baik pulih dari 18 pangsapuri dilaksanakan.
Menurutnya, untuk fasa kedua, Kerajaan Negeri menawarkan 45 kawasan untuk dibaik pulih dan 20 darinya akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Bagi perancangan awal, Kerajaan Negeri mensasarkan 100 pangsapuri akan dibaik pulih dalam 2012 dan pangsapuri yang berminat boleh memohon dalam program ini.
"Tiga perkara atau dana diperuntukkan dalam program ini iaitu peruntukan keceriaan, keselamatan dan kebersihan. Mana-mana pangsapuri yang mempunyai masalah dari salah satu dari perkara tersebut, boleh memohon melalui tabung yang disediakan.
"Dana dan tabung program ini akan ditambah dari semasa ke semasa meskipun bajet tabung kehabisan,"kata nya kepada Sinar Harian sewaktu pelancaran Majlis Pemberian Air Percuma 20 meter padu (m3) di Pangsapuri Taman Industri, semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Taman Industri, Adam Rosly Abdullah.
Iskandar yang juga Adun Cempaka berkata, melalui program ini, Kerajaan Negeri menawarkan konsep perkongsian kos iaitu 80 peratus dari keseluruhan kos projek akan ditanggung Kerajaan Negeri dan 20 peratus rakyat.
Katanya, memandangkan program ini mendapat sambutan dan menjadi keperluan rakyat sekarang, Kerajaan Negeri turut menawarkan program ini kepada pangsapuri kos sederhana iaitu perkongsian kos 60/40.
"Saya berharap skim yang ditawarkan ini akan direbut setiap pangsapuri di mana sebanyak 199,000 unit pangsapuri di Selangor,"katanya
Pada majlis pelancaran tersebut, JMB Taman Industri turut mengumumkan penambahan subsidi sebanyak 60 sen kepada tambahan subsidi air percuma Kerajaan Negeri sebanyak RM11.40 menjadikan subsidi genap RM12 untuk setiap unit Pangsapuri Taman Industri.
Pengerusi JMB, Adam Rosly Abdullah berkata, JMB setuju menambah subsidi tersebut di atas penghargaan pengurusan kepada penghuni yang bersama menjadikan pangsapuri diiktiraf sebagai pangsapuri terbaik peringkat Ampang,baru-baru ini.
"Tambahan subsidi air percuma pengurusan ini adalah sehingga hujung tahun dan pengurusan akan memikirkan lagi bantuan-bantuan lain untuk penduduk,"kata Adam
Baru-baru ini, Pangsapuri Taman Industri diumumkan sebagai pangsapuri terbaik dalam peringkat Ampang setelah memenangi tempat pertama Pangsapuri Idaman, Indah dan Bersih.