Wednesday 29 February 2012

PKNS, LZS BAWA SINAR BAHAGIA

PKNS

BAGAN TERAP – Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (Ceria) yang diwujudkan untuk kerja menaik taraf perumahan kos rendah dan sederhana rendah di kawasan bandar bakal direalisasikan ke kawasan luar bandar.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akan membangkitkan cadangan untuk membawa program itu ke kawasan luar bandar bagi rumah golongan sasar menerusi perkongsian kos.

"Kita akan bangkitkan, jika kita sudah tunaikan tanggungjawab di bandar, kita hendak membawa program yang sama di kawasan luar bandar dengan mewujudkan tabung bagi tujuan itu bersama-sama dengan PKNS dan anak syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika Majlis Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) – Baik Pulih Rumah Asnaf Fakir dan Miskin, di Jalan Lubuk Pusing, di sini.


Bantuan ditanggung penuh PKNS

Bantuan baik pulih rumah itu melibatkan peruntukan sebanyak RM396,000 kepada 22 unit rumah yang ditanggung sepenuhnya PKNS sebagai salah satu di antara CSR yang mana setiap unit rumah menerima bantuan pembaikan kediaman sebanyak RM18,000.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sabak Bernam, Jasman Syazry Mohd
Saari dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Azril Hakim Mohd Yazid.

Menurutnya, sebanyak RM9.7 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi Tabung Ceria dan daripada jumlah itu, pemilik pangsapuri perlu membiayai sebanyak 20 peratus kerja baik pulih manakala 80 peratus lagi dibiayai Tabung Ceria.

"Bagi fasa pertama ini sebanyak 18 kawasan terlibat dan 10 daripadanya telah siap, manakala lapan lagi dalam proses.

"Kita juga menerima 50 permohonan bagi fasa kedua dan 26 permohonan sudah membuat bayaran pendahuluan lima peratus daripada 20 peratus," katanya.


Peruntukan RM2.2 juta wang zakat

SEMENTARA itu, LZS memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta wang zakat bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk asnaf fakir dan miskin, mualaf dan fisabilillah.

Daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk asnaf fakir, asnaf miskin dan mualaf, manakala RM726,000 lagi bagi fisabilillah.

Selain daripada peruntukan zakat, PKNS juga menyediakan sejumlah RM1.2 juta untuk menjalankan program CSR lain kepada rakyat Selangor antaranya bantuan pengurusan Rumah Puteri Arafiah iaitu rumah perlindungan bagi remaja bermasalah, Sekola Agama Rakyat (KAFA Integrasi), sumbangan lembu korban, pusat komuniti iaitu Anjung PKNS di Seksyen 7, Shah Alam dan sebagainya.


Sinar baru kepada penerima

Ia sememangnya memberi sinar baru kepada penerima bantuan baik pulih kediaman asnaf fakir dan miskin ini untuk memiliki kediaman yang selesa.

Seorang penerima, Parni Tahir, 54, melahirkan rasa gembira dan penghargaan kepada PKNS kerana merealisasikan hasratnya untuk memiliki kediaman selesa.

"Kami benar-benar menghargai sumbangan dan bantuan yang diberikan kerana ia membolehkan kami mengecapi kehidupan di rumah yang selesa. Selepas ini, kami tidak perlu lagi menadah timba di sana-sini ketika hujan," katanya.

Sementara itu, sebuah lagi keluarga yang terdiri daripada empat beradik yang masing-masingnya merupakan orang kelainan upaya (OKU) turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih dengan bantuan baik pulih rumah yang diberikan.

Mohd Saharudin Sakiman, 29, berkata, rumah yang didiami bersama tiga abangnya iaitu Tukimon, 47, Zamri, 39, dan Mohd Yusrizan, 33, itu mengalami kerosakan teruk sejak dua tahun lalu terutamanya di bahagian bumbung rumah, dinding dan dapur.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang terbabit," katanya.


Tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS

PENGURUS Besar PKNS, Othman Omar berkata, bantuan itu adalah sebagai salah satu di antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan selama ini dan setiap unit rumah menerima bantuan pembaikan sebanyak RM18,000.

"Bantuan ini diharap serba sedikit dapat meringankan beban yang ditanggung oleh golongan asnaf fakir dan miskin di samping memberikan mereka kehidupan yang selesa," katanya.