Monday, 27 February 2012

PEMERIKSAAN RESTORAN PERLU DILAKUKAN LEBIH AWAL

SHAH ALAM, 22 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka, Iskandar A.Samad mempersoal tindakan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas restoran-restoran di Dun itu satu minggu sebelum Tahun Baru Cina.

Menurut Iskandar, sebagai Adun, beliau menyokong sebarang usaha untuk memastikan premis-premis yang menyedia dan menghidang makanan berada di dalam keadaan bersih.


Namun apa yang dipertikaikan kata beliau, kenapa tindakan tersebut dijalankan pada waktu yang paling ramai pengunjung dan telah menyebabkan 5 restoran ditutup sekaligus merugikan peniaga.


"Saya tidak mempertikaikan peraturan-peraturan kesihatan tetapi hanya mencadangkan agar operasi-operasi sedemikian dilakukan lebih awal.


"Ia juga dapat mengelakkan tanggapan buruk bahawa operasi ini dilakukan terlalu hampir dengan Tahun Baru Cina agar pemilik-pemilik membayar "ang pow" jika mahu premis mereka dibuka semula," katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.


Ekoran itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang mahu menjalankan operasi sedemikian, perlu berhati-hati agar tidak disalah anggap dan tidak mendatangkan fitnah kepada kerajaan negeri.


"Saya yakin tanggapan ini tidak benar tetapi pihak yang berkaitan tidak seharusnya mendedahkan diri mereka kepada sebarang tuduhan," katanya.