Wednesday, 29 February 2012

LEBIH RAMAI DAPAT PENGURANGAN SEWA RUMAH PPR

Kerajan Negeri Selangor telah menerima banyak rayuan dari penyewa-penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak mampu membayar sewa RM250 sebulan.

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang lepas pada bulan Jun 2007 telah membuat keputusan sewa bulanan rumah ppr dinaikkan dari RM124 ke RM250 sebulan.

Memandangkan ramai penyewa telah menghadapi masalah, pada bulan November 2008 Kerajaan Negeri Selangor telah menurunkan sewa balik kepada RM124 bagi mereka yang berpendapatan kurang dari rm 1,500 yang mempunyai lima orang ahli keluarga.

Sukacita dimaklumkan mesyuarat Exco hari ini bersetuju untuk menurunkan sewa bagi lebih ramai penyewa. Semua mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan layak mendapat pengurangan sewa tanpa mengira bilangan ahli keluarga.

Penyewa yang berpendapatan melebihi RM1,500 juga layak menerima pengurangan sewa bergantung kepada bilangan ahli keluarga mereka.

Mereka yang mempunyai 4 hingga 7 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM2,100.

Mereka yang mempunyai 8 hingga 10 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM2,550.

Mereka yang mempunyai 11 hingga 15 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM3,300.

Kerajaan Negeri berharap keputusan ini akan dapat mengurangkan beban rakyat.

Selain dari itu, permohonan untuk menurunkan sewa akan diproses di peringkat pihak berkuasa tempatan dan tidak perlu menunggu dibawa ke Shah Alam.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
2 September 2009