Friday 1 June 2012

KERAJAAN SELANGOR PERLUAS PROGRAM "LAPOR DAN DAPAT"

KUALA LUMPUR, 1 JUN 2012 : Kerajaan Selangor akan memperluaskan program Lapor Dan Dapat kepada penduduk pangsapuri kos sederhana, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata, program Lapor Dan Dapat telah membantu penduduk pangsapuri kos rendah mendapat air percuma di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) selama ini dan ia sekarang dibuka kepada pangsapuri kos sederhana selepas terbukti berjaya.

"Program Lapor Dan Dapat adalah program di mana penduduk kediaman berstrata yang tidak memiliki meter individu boleh mendapat 20 meter padu air percuma dengan hanya melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jumlah unit kediaman berpenghuni di pangsapuri mereka.

"PBT kemudian akan memberitahu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) akan jumlah ini dan Syabas akan melakukan potongan pada bil di meter pukal. Pihak yang menguruskan pangsapuri itu pula akan melakukan potongan pada bil-bil setiap kediaman di situ," katanya melalui satu kenyataan.

Sehubungan itu, Iskandar berkata, pihak yang menguruskan kediaman berstrata kos sederhana seperti pemaju, agen pengurusan, JMB, MC atau persatuan penduduk boleh menghubungi Pesuruhjaya Bangunan (COB) di PBT untuk menyertai program tersebut.

Menurutnya, penduduk juga digesa mendesak pengurus bangunan supaya membuat laporan kepada COB secepat mungkin kerana tanpa kerjasama pengurus bangunan sukar untuk kerajaan negeri membantu penduduk. – mynewshub.my