Monday, 25 June 2012

WAKAF UNTUK TINGKATKAN HUBUNGAN MASYARAKAT.

AMPANG 24 JUN: Kewujudan wakaf komuniti yang menelan kos RM20,000 di Taman Dagang diharap akan meningkatkan lagi hubungan sesama penduduk di sini.

Demikian menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad ketika merasmikan Wakaf Rakyat Taman Dagang pagi ini.

"Dengan adanya wakaf ini, saya percaya pelbagai kegiatan dapat dijalankan di sini sekaligus dapat lebih menceriakan dan mengeratkan silaturahim antara sesama penduduk.

"Pembinaan wakaf ini adalah sebahagian dari usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Selangor termasuklah bagi masyarakat yang mendiami pangsapuri," ujar beliau.

Menurut Iskandar program 'Bersih, Ceria dan Harmoni' ini akan diteruskan di seluruh Selangor.

Selain fokus untuk pembinaan wakaf, program ini turut menyediakan peruntukan untuk sudut belajar dan membaca dan pejabat yang lebih selesa untuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk mentadbir.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui berharap wakaf yang siap pembinaannya pada Mei lalu, dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan penduduk Taman Dagang.

"Saya harap dengan adanya wakaf ini, pelbagai program dapat dijalankan sekaligus merapatkan penduduk tak kira parti politik.

 

"Di sini kita boleh berbincang dengan lebih santai," menurut seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zarina.

Aziz Ismail pula berkata wakaf ini turut sesuai dijadikan tempat untuk beristirahat setelah letih berkerja seharian.

"Kerajaan menggalakan masyarakat negara ini supaya lebih erat tak kira bangsa dan agama.

"Selain mengadakan program, sebelah petang kami masyarakat di sini boleh berehat dan bertemu atara satu sama lain, dari tak kenal dah jadi kenal," ujar Aziz - NAZLI IBRAHIM, MEDIA SELANGORKU.