Saturday, 2 June 2012

TIDAK BENAR TIADA PERMINTAAN UNTUK RUMAH MAMPU MILIK DI BAWAH RM150,000.

Terdapat satu dakwaan yang disiarkan di dalam Buletin Utama TV3 pada 31 Mei lepas bahawa rumah kediaman di bawah RM150,000 susah hendak dijual.

Dakwaan ini kemungkinan besar untuk mempertahankan program Perumahan 1 Malaysia atau PR1MA di mana terdapat rumah dijual dengan harga sehingga RM300,000 sebuah.

Walau bagaimanapun Rumah Mampu Milik Negeri Selangor dijual dari RM85,000 hingga RM150,0000 sebuah.

Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Projek rumah mampu milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sedang bina di Bangi telah dijual 100 peratus.

Lebih 500 permohonan telah diterima untuk membeli 124 unit pangsapuri yang sedang dibina itu. Setiap unit dijual dengan harga di bawah RM100,000.

Malah lebih 2,000 borang permohonan untuk membeli rumah mampu milik telah dibeli oleh orang ramai dari Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Malah adalah dijangkakan 136 unit rumah mampu milik yang sedang dibina di Sg Long, Kajang oleh sebuah pemaju swasta akan habis dijual dalam masa yang singkat apabila tempahan dibuka.

Begitu juga hampir 1,000 unit rumah mampu milik yang telah diluluskan pembinaannya oleh Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam dan Damansara

RUMAH KOS RENDAH

Pihak yang mendakwa rumah di bawah RM150,000 susah hendak dijual juga mendakwa rumah kos rendah juga tidak laku.

Harga rumah kos rendah dikawal pada RM42,000 sebuah dan RM35,000 untuk bekas penduduk setinggan.

Memang benar terdapat rumah-rumah kos rendah dibina semasa kerajaan negeri yang lepas yang masih tidak terjual. Tetapi ini bukan disebabkan tidak ada permintaan untuk rumah kos rendah. Lokasi dan kedudukan rumah-rumah tersebut yang menyebabkan ia tidak laku. 

Dari segi kedudukan terdapat pemaju yang membina rumah-rumah kos rendah pada lokasi yang jauh dari pengangkutan awam, pusat pekerjaan, sekolah atau kemudahan-kemudahan lain.

Pemaju-pemaju tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Kerajaan negeri yang lepas mewajibkan pemaju membina rumah kos rendah di projek melebihi 10 ekar tanpa mengambil kira lokasi dan permintaan setempat.

Akhirnya terdapat rumah-rumah kos rendah yang tidak terjual hingga ke hari ini.

Walau bagaimana pun di bawah kerajaan negeri sekarang pemaju-pemaju boleh memohon untuk membina rumah mampu milik sekiranya sesuatu kawasan itu tidak sesuai untuk rumah kos rendah atau tidak ada permintaan untuk rumah kos rendah. 

Kedudukan rumah kos rendah di dalam sesuatu projek juga menyebabkan ia tidak laku. Ada yang dibina  bersebelahan dengan kolam najis atau pencawang utama TNB. Atau terletak di lokasi paling hujung, jauh dari kemudahan rekreasi, kedai-kedai atau keperluan-keperluan lain.

Lokasi tersebut dibina rumah kos rendah kerana ia tidak boleh dibina rumah-rumah jenis lain. Rumah-rumah yang dibina di kawasan tersebut memang tidak akan dapat dijual walaupun harganya di bawah harga pasaran.

Di bawah kerajaan negeri sekarang, kedudukan rumah-rumah kos rendah diteliti agar masalah-masalah yang timbul sebelum ini tidak berulang kembali.

RUMAH KOS RENDAH MASIH DIPERLUKAN

Kerajaan negeri masih mengekalkan polisi yang mewajibkan pemaju membina rumah kos rendah.

Terdapat desakan dari pelbagai pihak agar rumah kos rendah tidak lagi dibina. 

Mereka mahu rumah kos rendah RM42,000 digantikan dengan rumah mampu milik RM85,000 hingga RM150,000.

Tetapi pendapatan 40 peratus isi rumah di negara kita adalah di bawah RM1,500 sebulan.

Sekiranya rumah kos rendah tidak lagi dibina maka peluang sebahagian besar golongan ini untuk memiliki rumah sendiri akan tertutup sama sekali.

Kerajaan Negeri Selangor sekarang amat sensitif kepada keperluan rakyat berpendapatan rendah dan tidak akan tunduk kepada desakan-desakan untuk tidak dibina lagi rumah kos rendah.

Masalah-masalah yang ada pada rumah kos rendah seperti kualiti kerja dan kualiti bahan binaan yang rendah boleh diselesaikan. Para pemaju mesti lebih bertanggung jawab. Tetapi golongan berpendapatan rendah tidak sepatutnya dihukum. 

Oleh yang demikian sehingga pendapatan golongan ini dapat dipertingkatkan, rumah kos rendah akan terus dibina.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
1 Jun 2012