Friday, 23 March 2012

JAWAPAN Y.B.TUAN ISKANDAR ABDUL SAMAD, EXCO PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN DAN SETINGGAN NEGERI SELANGOR KEPADA PERTANYAAN NO. 4 (TAMAN TEMPLER), NO. 27 (KUALA KUBU BHARU) DAN NO. 133 (DENGKIL) BERKENAAN AIR PERCUMA BAGI PERUMAHAN BERTINGKAT.

TUNGGAKAN AIR PERCUMA
 
Kerajaan Negeri Selangor belum lagi bercadang untuk membayar tunggakan air percuma sejak 4 tahun lalu.
 
Kerajaan belum ada anggaran yang tepat untuk jumlah tunggakan ini jika kerajaan berhasrat untuk membayarnya.
 
Ini ialah kerana tarikh penghuni-penghuni mendapat air percuma adalah berbeza-beza.
 
Kempen besar-besaran agar penghuni bertukar kepada meter individu dan pemberian kupon air percuma bermula pada tahun 2009.
 
Kemudian diperkenalkan program pemotongan terus pada bil di meter pukal.
 
Oleh itu ada yang mendapat air percuma bermula pada tahun 2009, ada yang pada 2010 dan ada yang ada 2011.
 
Maka sudah tentu kerajaan perlu sedikt masa untuk mendapatkan anggaran ini.
 
Walau bagaimanapun kerajaan telah memperuntukan RM9,026,474.40 setahun untuk memberi air percuma kepada penghuni di perumahan bertingkat.
 
Oleh itu sebagai anggaran kasar untuk membayar tunggakan bagi 4 tahun untuk rumah kos rendah adalah RM36,825,896.16. 
 
 
KERAJAAN NEGERI MEMBANTU UNTUK MEMUDAHKAN MIGRASI
 
Kerajaan telah berusaha agar migrasi ke meter individu dipermudahkan dan dipercepatkan maka telah mengadakan banyak siri perbincangan dengan pihak SYABAS.
 
Di antara kejayaan perbincangan tersebut adalah mendapatkan persetujuan SYABAS untuk membenarkan migrasi walaupun "consent" atau kebenaran membuka akaun meter individu sebanyak 100 peratus tidak diperolehi.
 
Untuk kes-kes yang layak, "consent-consent" 100 peratus ini dikecualikan.
 
Kerajaan juga telah mewujudkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pemudah Isu-Isu Hartanah (PRIHATIN) untuk menyelesaikan masalah-masalah di perumahan bertingkat termasuk masalah yang dihadapi penduduk yang mahu melakukan migrasi.
 
Jawatankuasa ini bermesyuarat setiap minggu dan melibatkan SYABAS, pemaju atau penduduk untuk kes-kes melibatkan migrasi.
 
 
TURUN PADANG
 
Kerajaan juga melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor telah melakukan program "turun padang" untuk menggalakkan rakyat melakukan migrasi.
 
Setakat 15 Mac 2012, terdapat 252,591 permohonan untuk migrasi yang melibatkan 1,246 pembangunan.
 
Jumlah yang lulus adalah bagi 44,905 permohonan setakat ini.
 
Sementara jumlah yang telah ada meter individu adalah sebanyak 51,859 akaun melibatkan 241 pembangunan. 
 
 
KUPON AIR PERCUMA DAN PROGRAM "LAPOR DAN DAPAT"
 
Walau bagaimanapun sehingga migrasi berlaku kerajaan telah memperkenalkan kupon air percuma yang pernah dilaporkan kepada sidang-sidang Dewan yang lepas.
 
Yang terkini kerajaan telah memperkenalkan program "Lapor Dan Dapat".
 
Di bawah program ini penduduk hanya perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) mereka bilangan unit yang berpenghuni di pembangunan mereka untuk mendapatkan air percuma.
 
COB kemudian akan memberitahu SYABAS akan maklumat ini dan Syabas akan membuat potongan pada bil meter pukal mereka. MC, JMB, agen pengurusan, pemaju atau persatuan penduduk kemudian akan membuat potongan pada bil-bil individu penduduk.
 
Program ini akan memudahkan rakyat mendapat air percuma sebelum migrasi dan akan bermula pada 1 April 2012.
 
 
PERANAN KERAJAAN NEGERI MEMBANTU PENDUDUK YANG DIPOTONG BEKALAN AIR
 
Kerajaan boleh bertindak sebagai fasilitator di antara SYABAS dan penduduk apabila berlaku pemotongan.
 
Pada lazimnya kerajaan mencadangkan pembayaran secara ansuran.
 
Senarai pembangunan di mana kerajaan telah membantu adalah :
 
1) Pandan Utama, Pandan.
 
2) Apartmen Vista Bayu Klang
 
3) Kedai/Pejabat/ Apartment Taman Lembah Maju Ampang
 
4) Pangsapuri Ruvena Villa, Puchong
 
5) Pangsapuri Anggerik, Sri Kembangan
 
6) Apartmen Dishire Villa, Kota Damansara
 
7) Apartmen Kekwa, Puchong
 
8)  Pangsapuri Kayangan,Petaling Jaya
 
9) Desaminium Rimba, Seri Kembangan
 
10) Pangsapuri Seri Era, Shah Alam
 
11) Pangsapuri Melur, Raya Dan Cempaka, Pelangi Damansara
 
12) Apartmen Jelutong, Shah Alam13) Pangsapuri Langat Utama, Banting
 
14) Pangsapuri Desa Temuan, Bukit Lanjan
 
15) Pangsapuri Bukit Kuda, Klang
 
16) Apartmen Puchong Intan, Puchong
 
17) Apartmen Mawar Taman Bunga Raya Bukit Beruntung
 
18) Pangsapuri Impian Sentosa, Klang
 
19) Pangsapuri Klang Indah
 
20) Apartmen Sri Gotong, Selayang
 
21) Pangsapuri Seri Pulai, Puchong Hartamas
 
22) Pangsapuri Taipan Bandar Armada Putera, Klang
 
 
Iskandar bin Abdul Samad
EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
Negeri Selangor
22 Mac 2012