Saturday, 17 March 2012

LEBIH RAMAI AKAN DAPAT AIR PERCUMA MELALUI PROGRAM "LAPOR DAN DAPAT"

SHAH ALAM,16 MAC 2012 : Penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) di kediaman masing-masing berhubung jumlah kediaman bagi mendapatkan 20 meter padu air percuma.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan ,Iskandar Abdul Samad berkata Kerajaan Negeri kemudian akan menyampaikan maklumat kepada Syabas bagi membolehkan pemotongan pada bil meter pukal.

"Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut.

"Potongan yang diberikan oleh Syabas adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni," kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Iskandar membuat kenyataan itu bagi menjelaskan tindakan kerajaan negeri untuk memberikan air percuma kepada penghuni flat yang tidak mendapat kemudahan itu ekoran berkongsi meter (meter pukal).

"Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk.Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB.

"COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan," kata beliau.

Menurut Iskandar lagi, program "Lapor Dan Dapat" akan berupaya melipatgandakan bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat 20 meter padu air percuma yang dilaksanakan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program "Lapor dan Dapat" akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.

Tambah Iskandar ,program ini bermula pada 1 April 2012 dan penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.

"Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.

"Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh Syabas tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat," ujar Iskandar.