Saturday 24 March 2012

MB sahkan kos ubahsuai pejabat Hasan Ali berdasarkan prosedur.

Oleh Mohd Farhan Darwis, Malaysian Insider.

March 24, 2012

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menolak untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dituduh menggunakan kos yang tinggi untuk mengubahsuai pejabatnya ketika menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri.

Khalid (gambar) berkata, peruntukan hampir RM300,000 itu mengikut tatacara yang ditetapkan Perbendaharaan.

"Saya rasa tidak sebab untuk ambil tindakan terhadap perbelanjaan itu kerana ia mengikut tatacara Perbendaharaan.

Bagaimanapun menurut Khalid, sesiapa pun boleh mempersoalkan sama ada nilai berkenaan tinggi atau rendah.

"Boleh jadi Azmin hendak membandingkan pejabat Menteri Besar yang tidak diubahsuai, tetapi pejabat Hasan adalah pejabat baru," katanya lagi.

Semalan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berkata bekas exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam itu membelanjakan RM300,000 untuk pengubahsuaian pejabat beliau.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata Hasan turut membelanjakan RM550,000 untuk menganjurkan persidangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, yang mana jumlah itu lebih baik disalurkan kepada rakyat.

Hasan telah dilucut keanggotaan oleh PAS kerana mempunyai pendapat dan ideologi yang berbeza dengan kepimpinan parti.

Beliau kemudiannya menubuhkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi nama Jati demi mempertahankan maruah bangsa Melayu, agama Islam, dan institusi raja di negara ini.