Thursday, 15 March 2012

KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD : LEBIH RAMAI DAPAT AIR PERCUMA DENGAN PROGRAM “LAPOR DAN DAPAT”.

Penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada COB mereka bilangan kediaman yang berpenghuni di pembangunan mereka untuk mendapat air percuma.

Kerajaan Negeri kemudian akan menyampaikan maklumat itu kepada SYABAS yang akan membuat potongan pada bil meter pukal.

Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut.

Potongan yang diberikan oleh SYABAS adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni.

Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk.

Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB.

COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan.

Program "LAPOR DAN DAPAT" akan berupaya memperlipat ganda bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat air percuma.

Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program "LAPOR DAN DAPAT" akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.

Program ini bermula pada 1 April 2012. Penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.

Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.

Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh SYABAS tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat.

Iskandar bin Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
Negeri Selangor
16 Mac 2012