Saturday, 24 March 2012

PENDUDUK TAMAN MAWAR DAPAT "GERAN" SELEPAS 20 TAHUN.

AMPANG 12 Dis 2010 – 329 pemilik unit rumah Taman Mawar, Ampang, menarik nafas lega apabila kerajaan Selangor hari ini menyerahkan geran hak milik kepada mereka setelah menanti selama 26 tahun.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata, kerajaan negeri  tidak akan membiarkan rakyat dibeban dengan kegagalan  pemaju menyempurnakan amanah yang diberikan, selain menyifatkan pemberian geran tersebut sebagai hadiah tahun baru.

"Kita juga telah menurunkan cukai tersebut kepada seringgit sahaja. Jadi mereka tidak perlu bayar. Dari segi premium kita bagi nominal yang paling rendah kepada mereka. Setakat ini mereka perlu bayar RM682.50 untuk kediaman dan RM723.50, untuk perniagaan.

"Dari segi premium kita hilang hasil pun tidak apa, tapi yang penting penduduk mendapat tanah ataupun hak milik mereka," ujar beliau di Majlis Penyerahan Hak Milik kepada penduduk Taman Mawar, Ampang.

Pada tahun 1984, sebanyak 143 unit rumah murah, 90 unit rumah teres dua tingkat, 71 unit rumah link dua tingkat dan 25 unit perniagaan telah siap dibina dan diserahkan kepada pembeli walaupun tanpa Sijil Layak Menduduki (CF).

Kegagalan Syarikat Musytari Development Sdn Bhd membayar premium sebanyak RM317,508.50 dan hutang cukai berjumlah RM40,152.50 sebelum ini mengakibatkan geran hak milik tidak dapat dikeluarkan kepada pemilik.

Iskandar yang juga Adun Chempaka berkata, kerjasama daripada Pejabat Tanah Hulu Langat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor menubuhkan jawatankuasa bertindak memudahkan urusan pemilikan geran hak milik penduduk - Selangorkini.