Wednesday 4 April 2012

KERAJAAN NEGERI SELANGOR MENGALU-ALUKAN PROGRAM ALA CERIA KERAJAAN PERSEKUTUAN.

Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan program ala CERIA Kerajaan Persekutuan yang akan dilancarkan semula dengan perkongsian kos 90:10. Di mana 90 peratus kos baikpulih ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dan 10 peratus ditanggung oleh pemilik. Buat masa ini perkongsian kos tersebut adalah 60:40 berbanding dengan program CERIA Kerajaan Negeri Selangor iaitu 80:20.

Kerajaan Persekutuan sepatutnya menyumbang kepada usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat terutamanya rakyat Selangor oleh kerana 22 peratus dari pendapatan negara datangnya dari negeri Selangor. Maka wajarlah peruntukan dari Kerajaan Persekutuan disalurkan kepada rakyat negeri Selangor.

Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri berharap agar tidak akan wujud pertindihan di antara kawasan yang dibaikpulih oleh Kerajaan Negeri dan dan kawasan yang dibaikpulih oleh Kerajaan Persektuan.

Adalah diharapkan tidak berlaku lagi kes seperti di Taman Samudera, Gombak di mana Kerajaan Negeri telah memulakan kerja-kerja baikpulih iaitu mengecat di bawah program CERIA tetapi Kerajaan Pusat pula telah juga menghantar kontraktor untuk mengecat.

Terdapat juga kawasan-kawasan yang akan dibaikpulih di bawah CERIA tiba-tiba didatangi oleh kontraktor-kontraktor yang menawarkan diri untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih.

Matlamat program membaikpulih ini adalah untuk membantu rakyat dan bukan untuk sebarang kepentingan politik yang sempit.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri bersedia berkongsi maklumat dengan Kerajaan Persekutuan senarai kawasan-kawasan pangsapuri kos rendah yang memerlukan bantuan membaikpulih.

Kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih di atas penghormatan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri apabila mewujudkan program yang sama seperti Program Membaikpulih Negeri Kebajikan atau CERIA yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
4 April 2012

( Gambar-gambar adalah pangsapuri yang telah siap dibaikpulih : Atas - Taman Samudera, Gombak dan bawah - Taman Cahaya, Ampang)