Wednesday, 25 April 2012

UCAPAN YB ISKANDAR A. SAMAD, YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN PADA 21 APRIL 2012.

Pertamanya marilah kita sama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita  berkumpul di Pusat Tarbiyyah Pandan pagi ini.

Bagi pihak PAS Kawasan Pandan saya ingin mengucapkan selamat datang kepada tetamu khas kita pagi ini, Yang Berusaha Dr. Ahmad Suhaimi Mokhtar, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS. Saya yakin kehadiran beliau akan dapat menyemarakkan semangat para pejuang PAS di kawasan Pandan bekerja dengan lebih gigih lagi.

Selamat datang juga kepada para jawatankuasa, para perwakilan, para permerhati dan para tetamu dari wakil parti-parti Pakatan Rakyat, masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah, JMB-JMB, MC-MC, KRT-KRT dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang telah sama-sama hadir untuk menyerikan dan menjayakan program kita hari ini.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah memberi sumbangan sehingga impian kita untuk memiliki sebuah bangunan menjadi realiti. Bangunan ini adalah milik kita bersama. Ia bukan milik mana-mana jawatankuasa tetapi milik setiap ahli PAS di Pandan.

Walau bagaimanapun sumbangan-sumbangan masih diperlukan dari tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Bangunan ini bernilai lebih RM 3/4 juta. Walau bagaimanapun kita masih memerlukan hampir RM 1/2 juta lagi untuk membayar balik pinjaman bank dan kerja-kerja akhir pembinaannya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT

Saya mengucapkan tahniah kepada semua Dewan-Dewan dan Cawangan-Cawangan yang telah berjaya menganjurkan mesyuarat agung tahun ini. 
 
Mesyuarat agung bukan sekadar agenda tahunan yang diwajibkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Tetapi ia merupakan kayu pengukur kejayaan atau kegagalan kita untuk menggembeling tenaga-tenaga di peringkat akar umbi.

Mesyuarat agung adalah juga satu proses tarbiyyah. Untuk menganjurkan mesyuarat agung memerlukan persiapan yang terperinci dan melatih kita untuk bekerja bersungguh-sungguh. Untuk menghadiri mesyuarat agung dan duduk berjam-jam mendengar atau berhujjah dengan tertib melatih kita untuk memiliki sikap sabar dan bertolak ansur. Komitmen kita untuk mematuhi dan melaksanakan segala keputusan mesyuarat melatih kita untuk mematuhi keputusan jemaah.

Oleh itu janganlah kita memandang ringan kepada mesyuarat agung. Janganlah juga kita menyempitkan proses-proses tarbiyyah. Ia bukan sekadar tarbiyyah haraki, kuliyyah, usrah, qiyamulail dan tamrin. Tetapi segala perkara yang kita lalui di dalam jemaah ini adalah proses tarbiyyah. Ramai yang tercicir atau gagal terus dalam perjuangan kerana tidak melalui keseluruhan proses tarbiyyah. Mereka hanya melalui program-program tarbiyyah khusus atau yang tradisional sahaja.

Di Pandan teras program tarbiyyah kita adalah program Tarbiyyah Haraki atau Usrah yang dijalankan setiap hari Khamis. Ia mempunyai naqib yang tetap dan menggunakan kitab yang khusus. Bagi setiap bulan, 3 kali di Pusat Khidmat PAS Pandan Indah dan 1 kali di Cawangan-Cawangan menurut giliran.

Selain dari itu, turut dijalankan Usrah di peringkat zon, majlis berbuka puasa iftar bulanan dan tamrin.

Pada sessi lepas tamrin telah dilaksanakan sebanyak 2 kali.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT,

Kemungkinan besar pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi. Ada yang mengatakan pada bulan Jun dan yang mengatakan pada bulan September. Walau bila sekalipun pilihanraya diadakan, pilihanraya kali ini amat berbeza dari pilihanraya yang lepas.

Barisan Nasional telah menyatakan bahawa mereka akan melakukan apa sahaja untuk menawan negeri Selangor. Kita dapat lihat hari ini betapa bersungguh-sungguhnya Barisan Nasional apabila bertubi-tubi serangan ditujukan ke arah Pakatan Rakyat terutamanya Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Sesungguhnya kempen untuk pilihanraya umum ke 13  telah lama bermula. Kita telah lama memasuki gear lima. Mereka yang berhasrat hanya akan turun bekerja setelah Parlimen dibubarkan perlu dikejutkan dari tidur. Gerakerja selepas Parlimen dibubarkan adalah hanya 10 peratus dari seluruh gerakerja. 90 peratus dari gerakerja berlaku sebelum itu.

Tambahan pula kempen untuk pilihanraya umum kali ini adalah jauh berbeza. Setiap pilihanraya adalah berbeza. Tidak terkecuali pilihanraya umum ke 13.

Pada pilihanraya umum yang lepas, Barisan Nasional gagal memanfaatkan media baru seperti internet. Salah satu sebab kejayaan Pakatan Rakyat ketika itu adalah penyebaran maklumat dengan pantas melalui internet. Ia dapat menyaingi malah meninggalkan jauh di belakang media arus perdana yang dimiliki oleh Barisan Nasional.

Kali ini Barisan Nasional telah turut menggunakan media baru. Oleh itu strategi-strategi baru perlu dicari dan dilaksanakan. Kita perlu lebih kreatif dan innovatif jika mahu mengekalkan kemenangan di Selangor dan menawan Putrajaya. 

Pilihanraya bukan sekadar bendera, poster dan kain rentang. Malah bendera, poster dan kain rentang bukan lagi peluru-peluru utama dalam kempen pilihanraya. Kita berada di dalam zaman Facebook, Twitter, Blog dan SMS.

Potfolio geraksaraf telah menjadi potfolio paling utama di dalam kempen kita. Kita tidak boleh lagi bekerja membuta tuli. Kita mesti bekerja berperancangan. Setiap gerakerja yang kita lancarkan mestilah yang telah dipertimbangkan dengan teliti. Dikaji dari setiap sudut tanpa meninggalkan sebarang kebarangkalian. Setiap perkataan yang diucapkan oleh penceramah kita mestilah yang telah difikirkan masak-masak. Diolah untuk menarik masyarakat bukan menyakitkan hati masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT

Di dalam apa sahaja yang kita lakukan, kita perlu menjadi lebih innovatif dan kreatif. Ianya tidak terhad kepada gerakerja-gerakerja pilihanraya sahaja.

Kita berada di dalam dunia yang sentiasa berubah. Politik seperti teknologi berubah dengan begitu pantas. Telefon bimbit yang dibeli 6 bulan yang lalu sudah ketinggalan zaman hari ini. Tetapi politik berubah dalam kadar yang lebih pantas dari itu. 

Kita perlu sentiasa berada selangkah di hadapan. Jika tidak, kita akan ditinggalkan.

Kita mesti sentiasa terbuka kepada perubahan dan pembaharuan. Berani untuk belajar dari orang lain. Mengakui bahawa kita tidak ada monopoli ke atas kebijaksanaan. Kita tidak boleh menjadi katak yang duduk di dalan telaga yang dalam.

Kita juga perlu "work smart" selain dari "work hard". "Work hard" adalah asas tetapi "work smart" sebagai nilai tambah untuk meningkatkan peluang kejayaan kita.    

Jika kita tidak dapat memahami innovasi dan kreativiti maka janganlah pula kita menjadi penghalang kepada innovasi dan kreativiti.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT

Di dalam kita melaksanakan tugas-tugas jemaah, saya berharap kita dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada matlamat yang perlu dicapai.

Sebarang isu-isu peribadi tidak seharusnya menghalang kita dari bertungkus-lumus untuk kemenangan Islam. Kita tidak sepatutnya kehilangan tumpuan atau "loose focus".

Sekiranya terdapat sebarang perselisihan faham di antara kita maka seharusnya kita berlapang dada dan tidak membiarkan ia menjadi penyebab kepada Allah untuk menghukum kita semua.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT

Setelah 4 tahun menjadi kerajaan saya berharap kita telah berupaya untuk memimpin seluruh rakyat. Kita mahu pemimpin PAS yang dapat memimpin bukan sahaja ahli-ahli PAS tetapi masyarakat berbilang kaum di Pandan yang terdiri dari pelbagai kaum dan pelbagai bangsa.

Sudah tentu kita tidak mahu menjadi "jaguh kampung" yang hanya berani berkokok di dalam rebannya sahaja.

Kita juga mahu ahli-ahli yang selesa bersama masyarakat sepertimana mereka selesa bersama ahli-ahli. Memenangi hati mereka. "Winning their hearts and minds".

Jika kita gagal. Orang lain akan melakukannya. Rakyat mempunyai banyak pilihan. Mereka akan memiilih yang terbaik.

Oleh itu kita tidak mahu mendengar lagi ungkapan, "Aku nak PAS tapi aku tak boleh bergaul dengan ahli-ahli PAS".

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT

Pendekata kita mempunyai banyak tugas-tugas di hadapan kita. Betapa besarnya tanggung jawab kita.

Dengan itu saya ingin menyeru kepada kita semua agar membetulkan niat kita terlebih dahulu. Segala-gala kita lakukan kerana Allah SWT. 

Kita hendak memenangi pilihanraya dan mengekalkan kemenangan kita bukan agar kita mendapat kontrak-kontrak kerajaan. Bukan agar kita dapat menggunakan peruntukan-peruntukan kerajaan. Tetapi kerana cita-cita kita agar Islam itu benar-benar didaulatkan. 

Sepertimana kita menyertai PAS bukan untuk mendapatkan ganjaran-ganjaran dunia. Jemaah bukan tempat untuk mencari makan. Tetap matlamat kita adalah agar Islam dihormati, memerintah dan bukan lagi diperintah. Ingatlah ikrar kita setiap kali solat,

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku hanya semata-mata bagi Allah Tuhan semesta alam"