Wednesday 4 April 2012

Pampasan RM73,000 untuk penduduk flat Kg Kerinci kejam.....

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, YB Iskandar A. Samad berkata jika pemilik flat kos rendah Kg Kerinci hanya ditawarkan pampasan RM73,000 maka ianya adalah satu tindakan yang kejam.

Beliau berkata sedemikian setelah membuat lawatan pada 4 April lepas ke flat yang akan dibangunkan semula oleh sebuah pemaju swasta.

Seramai 35 keluarga masih bertahan di kediaman mereka kerana tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan.

Menurut Iskandar, unit kediaman yang sama di kawasan pinggir bandar seperti di Pandan Indah bernilai sekurang-kurangnya RM75,000. Oleh yang demikian nilai bagi kawasan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur seperti Kg Kerinci sudah tentu berkali-kali ganda.

Beliau juga memberitahu beliau difahamkan bahawa pembangunan yang akan dibangunkan di atas tapak flat itu adalah bernilai tinggi yang sudah tentu akan memberi pulangan beratus-ratus juta RM. Unit kediaman yang mempunyai keluasan yang sama dengan flat penduduk mungkin akan dijual dengan harga melebihi RM500,000. Maka sudah tentu pemaju mampu menawarkan pampasan yang lebih tinggi.

Flat tersebut telah dibina oleh PKNS pada lewat 70'an dan telah dijual kepada orang ramai.

Apabila terdapat cadangan untuk membangunkan semula tapak flat itu, PKNS telah turut membuat tawaran. Tetapi tawaran PKNS ini telah tidak berjaya. Sebuah pemaju swasta telah terpilih - Chempaka Online.